Persiapan akhir laksana vaksin untuk remaja

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Sarawak kini dalam fasa akhir penilaian pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri itu bagi memastikan ia berjalan lancar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara penilaian itu ialah cara pemberian vaksin sama ada di tempat khas yang disediakan ataupun petugas vaksinasi pergi ke sekolah agar kumpulan berkenaan mendapat vaksin dengan selamat.

“Perkara ini sedang dibincangkan antara pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Apa yang penting ialah kita dapat memberikan vaksinasi kepada pelajar kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak 2021 di sini pada Isnin.

Dalam ucapannya sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sarawak minggu lepas, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sedang berusaha melaksanakan program pemberian vaksin bagi 289,200 individu berumur dari 12 hingga 17 tahun atau 9.94 peratus daripada penduduk Sarawak.

“Kerajaan amat berharap ibu bapa dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memudahkan dan melicinkan pelaksanaan program ini nanti,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata vaksinasi COVID-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka bermula Rabu ini, susulan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berkata, Sarawak merupakan negeri pertama yang akan melaksanakan vaksinasi itu kerana kelancaran negeri ini dalam pemberian vaksin dengan 80 peratus populasi dewasanya telah divaksin. - Bernama

Artikel Berkaitan: