Johor sasar kutipan hasil PBT meningkat kepada RM1.61 bilion

Ayub ketika menjawab soalan pada Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. - Foto Bernama
Ayub ketika menjawab soalan pada Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor menyasarkan kutipan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi 2022 meningkat kepada RM1.61 bilion berdasarkan jumlah pemegang pegangan cukai dan pemegang taruh yang dijangka bertambah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, unjuran itu bagaimanapun tertakluk kepada perubahan, cadangan serta inisiatif kerajaan negeri.

“Berdasarkan kutipan hasil pada 2020, empat PBT di Johor mencatat kutipan melebihi RM100 juta iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru sebanyak RM403 juta; Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (RM271 juta), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (RM174 juta) dan Majlis Perbandaran Kulai (RM111 juta),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.

Beliau menjawab soalan lisan Tan Hong Pin (PH-Skudai) mengenai jumlah hasil kerajaan bagi setiap PBT untuk tempoh 2020, 2021 dan 2022 serta langkah-langkah yang diambil untuk meringankan beban pembayar cukai M40 dan B40 dalam menghadapi kegawatan ekonomi akibat Covid-19.

Menjelaskan selanjutnya, Ayub (BN-Rengit) berkata empat PBT lain yang meraih hasil dalam lingkungan RM20 juta sehingga RM50 ialah Majlis Perbandaran Pontian, Majlis Perbandaran Segamat, Majlis Daerah Tangkak dan Majlis Daerah Kota Tinggi.

Empat PBT lain, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Daerah Labis, Majlis Daerah Simpang Renggam dan Majlis Daerah Mersing pula mencatat kutipan hasil kurang daripada RM20 juta.

Dalam pada itu, Ayub berkata, ramai peniaga dan penjaja negeri Johor yang terjejas kerana tidak dapat berniaga dan seterusnya tiada pendapatan sehinggakan tidak mampu untuk membayar tunggakan cukai.

“Sehubungan itu, pihak PBT Johor tidak melaksanakan sebarang tindakan atau operasi sitaan dan rampasan bagi pemilik harta yang mempunyai tunggakan cukai harta selain tidak mengenakan sebarang denda lewat bayaran cukai harta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, pengecualian bayaran lesen perniagaan atau peniaga mikro, penjaja bergerak, penjaja statik, peniaga pasar malam dan pasar pagi yang dilaksanakan, terbukti telah memberi manfaat kepada 35,765 pemegang lesen di semua PBT Negeri Johor pada 2021 walaupun ini melibatkan nilai kehilangan hasil untuk PBT sebanyak RM5.11 juta.

Ayub berkata, pengecualian bayaran sewa premis dan pasar bagi tahun ini pula memberi manfaat kepada 45,567 penyewa iaitu sebanyak 6,364 peniaga premis atau gerai PBT dan 39,203 peniaga tapak pasar awam, pasar malam dan pasar yang melibatkan hasil untuk PBT bernilai RM15.2 juta.

Persidangan akan bersambung pada Selasa. - Bernama