Mayat mangsa kedua Myvi hanyut ditemui bawah timbunan pasir

Mayat mangsa dibawa keluar dari lokasi ditemui untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mayat mangsa dibawa keluar dari lokasi ditemui untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Mangsa kedua yang hanyut dibawa arus bersama kereta ketika melintas sebuah jambatan pada Jumaat lalu akhirnya ditemui di bawah timbunan pasir di tebing sungai Kampung Dambai, Inanam di sini pada Isnin.

Mangsa, Simon Sange Tupe, 68, ditemui oleh penduduk kampung pada jam 1.30 petang iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian kereta jenis Perodua Myvi itu hanyut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, penemuan mayat itu segera dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Katanya, mayat ditemui tertanam di dalam timbunan pasir di kawasan Kampung Dambai iaitu sejauh kira-kira 800 meter daripada lokasi kenderaan ditemui pada Sabtu lalu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani proses ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya kepada pemberita di lokasi penemuan mayat pada Isnin.

Mohd Zaidi dalam pada itu turut menasihati masyarakat setempat supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika musim hujan yang menyebabkan beberapa jalan dibanjiri air.

"Sekiranya berhadapan jalan yang berisiko seperti kejadian ini, masyarakat diminta bersabar bagi mengelakkan insiden serupa berulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.20 petang Isnin.

"Mayat mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Mayat mangsa dalam Myvi hanyut ditemui, seorang masih hilang

ARTIKEL BERKAITAN:Kereta Myvi lintas jambatan hanyut dibawa arus deras