Pelancong boleh ke Langkawi melalui feri Kuala Perlis

Pelancong yang ingin mengunjungi Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri melalui Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis susulan Terminal Feri Kuala Kedah ditutup selama dua minggu setelah Kuala Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Gambar hiasan
Pelancong yang ingin mengunjungi Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri melalui Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis susulan Terminal Feri Kuala Kedah ditutup selama dua minggu setelah Kuala Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Pelancong yang ingin mengunjungi Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri melalui Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis susulan Terminal Feri Kuala Kedah ditutup selama dua minggu setelah Kuala Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pegawai Operasi Feryline Kuala Perlis, Roslan Abd Ghani Seman berkata, penumpang yang keluar masuk ke Langkawi boleh menggunakan feri dari Kuala Perlis yang memulakan operasi hari ini dengan kekerapan satu perjalanan sehari.

Menurutnya, bagi perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis, perkhidmatan feri beroperasi pada jam 11 pagi manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 1 petang.

“Kita akan tambah kekerapan perjalanan feri jika mendapat permintaan. Kapasiti penumpang pada satu-satu masa hanya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan tempat duduk dalam feri bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Roslan Abd Ghani berkata, berdasarkan maklum balas orang ramai pada hari pertama beroperasi, pembelian dalam talian amat menggalakkan berbanding pembelian secara terus di kaunter tiket.

“Ramai yang beli tiket secara dalam talian, yang beli di kaunter adalah dalam dua atau tiga orang, mungkin sebab hari pertama beroperasi.

Jualan tiket pada hari pertama memberangsangkan dengan berbaki 26 tempat duduk, iaitu pengisian penumpang hanya 50 peratus daripada kapasiti feri untuk patuhi penjarakan fizikal. Dianggarkan jumlah penuh hampir 93 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan penumpang yang telah membeli tiket bagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik harga tiket melalui e-mel seperti tercatat pada pas masuk bagi pembelian dalam talian.

Artikel Berkaitan:

“Penumpang terlibat juga boleh mengemukakan tuntutan bayaran balik di kaunter bagi pembelian di kaunter atau menukar perjalanan keluar masuk melalui Terminal Kuala Perlis,” katanya.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ditutup bermula 6 hingga 19 September susulan pelaksanaan PKPD Kuala Kedah.

Sementara itu penduduk Langkawi, Normardiana Che Mazlan, 32, menyambut baik pembukaan semula Langkawi kepada pelancong dengan pengawalan ketat kemasukan penumpang bagi mengelak kesesakan.

“Sebahagian besar penduduk mahu sektor pelancongan dibuka semula namun dengan SOP diperketatkan. Kami mahukan Langkawi seperti dahulu.

Sektor perhotelan, agensi pelancongan serta pemandu teksi amat mengharapkan sektor pelancongan dirancakkan semula berikutan lebih 80 peratus sumber pendapatan penduduk adalah daripada sektor berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pintu masuk ke Langkawi terus ditutup, ia tidak dapat menyelesaikan peningkatan kes positif Covid-19 yang masih tinggi di pulau itu.

“Yang perlu diberi keutamaan adalah pematuhan SOP. Lebih baik buka sektor pelancongan dan sediakan SOP khusus yang lebih ketat di semua tempat pelancongan dan kedai makan berbanding terus menutup pintu masuk ke Langkawi,” katanya.

Normardiana berharap semua pihak membantu pulau legenda itu untuk bangkit semula dengan menjayakan projek perintis program gelembung pelancongan bermula 16 September ini.