Lelaki maut terjatuh ketika tukar bumbung sekolah

Seorang lelaki maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja menukar bumbung di sebuah sekolah di Labis, Segamat, Sabtu lepas. Gambar hiasan
Seorang lelaki maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja menukar bumbung di sebuah sekolah di Labis, Segamat, Sabtu lepas. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja menukar bumbung di sebuah sekolah di Labis, Segamat, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor Husdin Che Amat berkata, dalam kejadian 3.50 petang itu, lelaki tempatan berusia 32 tahun terjatuh dari bumbung berketinggian 12.5 meter dan disahkan meninggal dunia pada 6.20 petang di Hospital Segamat.

"Hasil siasatan awal oleh JKKP mendapati mangsa bekerja sebagai pekerja am bersama dua rakannya ditugaskan untuk menyiapkan kerja-kerja penukaran bumbung. Mangsa yang berada di ruang siling ditugaskan membantu menghulurkan barang kepada rakannya di atas bumbung.

"Mangsa yang didapati tidak memakai safety harness dan hanya memakai selipar semasa bekerja, dipercayai telah naik ke bumbung dan tergelincir akibat hujan menyebabkan mangsa terjatuh dari bumbung ke permukaan tanah,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata ketika kejadian terdapat tali nilon berdiameter 10 milimeter disediakan dan diikat di kekuda bumbung bagi tujuan penyambungan ke safety harness.

Susulan kejadian itu, JKKP telah mengeluarkan satu notis larangan kepada majikan atas kegagalan menyediakan sistem kerja selamat di tempat tinggi khususnya bagi kerja-kerja penukaran bumbung dan kegagalan untuk memastikan tempat kerja tersebut dalam keadaan selamat.

Menurut JKKP, majikan juga diarahkan untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja-kerja penukaran bumbung termasuklah mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko.

Menurut beliau tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. - Bernama

Artikel Berkaitan: