TNB sumbang RM100,000 bantu mangsa bencana Gunung Jerai

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan CSR TNB bagi mangsa banjir yang bernilai RM100,000 kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit (kiri) dalam Lawatan Kerja Menteri ke Kedah di Pusat Operasi Bencana, Titi Hayun, Yan, Kedah, 4 September 2021.

A
A
A

SHAH ALAM- Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan cek sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa-mangsa bencana kepala air Gunung Jerai.

TNB dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut diserahkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit di Pusat Operasi Bencana Titi Hayun, Yan, Kedah pada Sabtu lalu.

"Takiyuddin turut mengadakan lawatan meninjau kawasan tanah runtuh akibat kepala air di Gunung Jerai yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

“TNB juga akan memulihkan aset dan infrastruktur bekalan elektrik yang rosak dan terjejas ekoran bencana berkenaan,” katanya pada Isnin.

Turut mengiringi Takiyuddin ialah Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan dihadiri Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat dan Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji.

Tambah kenyataan itu, dalam tempoh ini, TNB akan menyediakan jana kuasa bergerak untuk membekalkan elektrik kepada pengguna yang terjejas sehingga bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, kejadian bencana kepala air yang melanda kaki Gunung Jerai menyebabkan banjir kilat di beberapa buah kampung dan kawasan peranginan di sekitar daerah Yan, Gurun dan Merbok, Kedah.

Banjir kilat dan limpahan air deras tersebut telah merosakkan kawasan kediaman dan infrastruktur utama, selain meragut enam nyawa penduduk.

Artikel Berkaitan: