TI-M sokong SPRM di bawah Parlimen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Transparency International Malaysia (TI-M) menyokong penuh cadangan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata, langkah ini dipercayai dapat meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM sambil meletakkannya bebas daripada pengaruh kuasa eksekutif.

“Perkembangan ini sangat dialu-alukan kerana ini adalah sebahagian daripada reformasi institusi yang dicadangkan oleh TI-M sebelum ini.

“Pembaharuan sedemikian secara logik juga bermakna pelantikan Ketua Pesuruhjaya menjadi hak prerogatif Parlimen setelah mendapat cadangan daripada Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon yang berkelayakan.

“Ini berbeza dengan Seksyen 5, Akta SPRM 2009 yang menyatakan bahawa Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Rais sebelum ini dilapor mencadangkan agar SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi mengelakkan badan penguatkuasaan itu terdedah kepada kuasa eksekutif atau pengaruh luar.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, meskipun cadangan itu sudah disuarakan sebelum ini, namun kali ini beliau secara peribadi akan mendalami dan menyampaikannya kepada kerajaan dari sudut Perlembagaan.

Mengulas lanjut, Muhammad menambah, yang menjadi masalah mengikut situasi sekarang ialah sekiranya pemilihan calon untuk jawatan Ketua Pesuruhjaya berada di bawah kuasa Perdana Menteri, kebebasan SPRM terjejas.

Artikel Berkaitan:

“Selanjutnya, tempoh jawatan Ketua Pesuruhjaya harus tetap dan beliau tidak boleh disingkirkan walaupun terdapat pertukaran kerajaan.

“Juga, sama seperti seorang hakim, pemecatan sepanjang tempoh Ketua Pesuruhjaya hanya boleh dibuat berdasarkan alasan yang ditentukan dan dipengerusikan oleh satu tribunal khas,” katanya.