Ujian terbaik skuad B-20

Aksi kedua-dua pasukan di Stadium Mini USIM pada Sabtu. - Foto Facebook FAM
Aksi kedua-dua pasukan di Stadium Mini USIM pada Sabtu. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 20 (B-20) tahun negara disifatkan telah mengharungi perlawanan ujian terbaik biarpun mencatat kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi persahabatan di Stadium Mini USIM pada Sabtu.

Pengendali skuad B-20, Brad Maloney berkata, perlawanan itu memberikan gambaran terutama kepada kombinasi pemain untuk ke kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022, bulan depan.

"Ini adalah perlawanan pertama pasukan. Satu perlawanan yang bagus menentang sebuah pasukan yang ada pemain senior dan satu ujian terbaik kepada semua pemain. Perlawanan ini memang tidak mudah dengan keadaan padang yang basah dan pemain sukar untuk menggerakkan bola dengan cepat.

"Kami juga dapat melihat kombinasi terbaik untuk pemain selain mereka juga ada mencipta banyak peluang dan ada jaringan. Bagi saya ia menjanjikan sessuatu dan ini adalah perlawanan yang bagus.

"Saya mahu melihat perkembangan lebih baik dalam pasukan dan persefahaman dalam kalangan pemain selain apa yang telah kami usahakan dalam latihan," katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad Negeri Sembilan FC kendalian K Devan mendahului dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-26 dan N Javabilaarivin pada minit ke-35.

Skuad B-20 negara bangkit pada separuh masa kedua untuk merapatkan kedudukan menerusi Khairi Suffian Khaineyusri pada minit ke-59.

Dalam pada itu, Devan menyifatkan banyak perkara yang boleh ditambah baik oleh skuad B-20 negara sekiranya mereka semua diberikan ruang untuk berlatih dalam satu jangka masa yang lebih lama.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin pada separuh masa pertama mereka (skuad B-20) nampak kurang bersedia terutama daripada segi agresif mencabar bola 1 on 1. Tetapi, persembahan mereka lebih baik di separuh masa kedua dengan mereka boleh simpan bola dan boleh menyerang ddengan lebih teratur.

"Dengan hanya satu minggu menjalani latihan, saya nampak banyak perkara positif jika mereka dapat diberikan peluang lebih lama bersama pasukan. Mereka juga ada pengalaman bermain di Liga Premier, jadi ia satu kelebihan kepada pemain daripada segi pengalaman," katanya.