Wujudkan sistem amaran kesan bencana di Gunung Jerai: Bomba

Kepala air yang deras jelas kelihatan dari puncak Gunung Jerai sehingga merosakkan penempatan dan persekitaran.
Kepala air yang deras jelas kelihatan dari puncak Gunung Jerai sehingga merosakkan penempatan dan persekitaran.
A
A
A

ALOR SETAR - Satu sistem praamaran perlu diwujudkan di kawasan Gunung Jerai untuk mengesan sebarang gegaran atau pergerakan tanah bagi membolehkan amaran awal disampaikan kepada penduduk di kawasan berkenaan sekiranya berlaku ancaman bencana.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sistem berkenaan juga dilihat dapat membantu mengurangkan jumlah kehilangan nyawa yang terlibat dalam sesuatu bencana.

“Saya telah berbincang dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) semalam. Kita lihat kawasan Gunung Jerai yang mempunyai kecerunan muka bumi ini berisiko tinggi untuk berlaku bencana seperti fenomena kepala air pada 18 Ogos lepas terutamanya kalau hujan lebat turun.

“Jadi, memang kena ada satu sistem praamaran untuk kesan gegaran dan dari situ kita boleh beri amaran kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib di Ibu Pejabat JBPM Kedah pada Isnin.

Beliau berkata, sistem itu boleh diwujudkan dengan kerjasama daripada semua agensi terlibat untuk melihat beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas terjadinya sesuatu bencana.

“Banyak yang kita dapat pelajari selepas bencana kepala air yang berlaku di Gunung Jerai bulan lepas. Saya ingin sarankan supaya buat latihan untuk orang kampung dan komuniti supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan pada masa berlakunya bencana,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, JBPM juga telah menubuhkan beberapa skuad yang diberi tanggungjawab untuk membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan atau laut yang melibatkan malim gunung dan nelayan.

“JBPM telah menubuhkan pasukan khas di kawasan yang menjadi lokasi tumpuan dan kunjungan pengunjung. Contohnya, kita telah memilih malim gunung yang layak untuk menjadi Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) di Gunung Kinabalu, Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kalau hendak tunggu anggota JBPM naik dan turun gunung memang akan ambil masa sedikit kerana kurang pakar dengan keadaan muka bumi di situ. Tetapi, malim gunung memang sudah tahu semua keadaan di situ jadi operasi mencari dan menyelamat itu dapat dilakukan dengan lebih cepat,” katanya.

Tambahnya, selepas ini beberapa skuad lain akan turut ditubuhkan dan bagi kawasan Gunung Jerai ia juga boleh dilaksanakan dengan kolaborasi bersama agensi penguat kuasa yang lain termasuk malim gunung dan penduduk setempat di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, pada program lawatan itu Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota JBPM dan agensi penguat kuasa lain yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa fenomena kepala air di Yan pada 18 Ogos lalu.

“Kita bersimpati dengan dugaan yang menimpa kesemua mangsa kepala air ini. Peruntukan juga telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dan untuk pulihkan kawasan yang terjejas akibat bencana itu memang akan mengambil masa yang agak lama.

“Saya harap penduduk di Yan sentiasa berhati-hati kerana bimbang kemungkinan insiden itu boleh berlaku lagi, tambahan pula kadar hujan turun lebih daripada biasa ketika ini,” katanya.- Bernama