Speaker DUN NS tidak terima surat tarik sokongan terhadap Aminuddin

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga ADUN Sikamat pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri pada Isnin. - Foto Bernama
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga ADUN Sikamat pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar mengesahkan, beliau tidak menerima sebarang surat daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Chennah) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini pada Isnin.

Anthony berkata, jawapan itu memberi mesej jelas kepada rakyat di Negeri Sembilan bahawa ADUN Sikamat tersebut masih mempunyai sokongan majoriti dalam DUN untuk terus menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar.

"Bagi saya pergolakan dalam parti itu perkara biasa. Parti nak buat macam mana, terpulang. Kalau parti nak tukar kedudukan Sikamat (Aminuddin) sebagai Pengerusi (Majlis Pimpinan Negeri) pun, itu adalah hal dalaman parti kerana kedudukan parti tidak menjejaskan kedudukan dalam kerajaan," katanya.

Tegas beliau, selagi Aminuddin mempunyai sokongan majoriti ADUN, kedudukannya sebagai Menteri Besar tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada seluruh barisan ADUN kerajaan supaya mendukung dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Aminuddin untuk menerajui kerajaan Negeri Sembilan sehingga akhir tempoh.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kepimpinan PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kercayaan terhadap Aminuddin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusof Tapar berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Artikel Berkaitan: