Pegawai Imigresen didenda RM50,000 bantu lepas warga asing

Yusrazif (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lalu atas pertuduhan rasuah. - Foto Bernama.
Yusrazif (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lalu atas pertuduhan rasuah. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Imigresen yang ditahan dalam Op Selat didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menerima wang RM15,000 bagi membantu pelepasan warga China dan Filipina tahun lalu.

Yusrazif Wan Yusoh, 42, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kesemua pertuduhan, Yusrazif sebagai seorang penjawat awam didakwa menerima benda berharga tanpa suatu balasan iaitu deposit tunai dan pindahan wang secara atas talian berjumlah RM15,000 daripada seorang individu.

Ia yang mana tertuduh ketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya melibatkan pelepasan warga Filipina dan China melalui Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang, Selangor.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Alliance Islamic Bank Berhad cawangan Putrajaya, Putrajaya antara 28 Oktober hingga 16 November 2020.

Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada Januari 2012, individu berkenaan menghubungi tertuduh supaya membantunya dalam memudahkan urusan keluar masuk warganegara China di kaunter Pegawai Imigresen di KLIA2.

Artikel Berkaitan:

Pada November 2020, seorang lagi individu menghubungi tertuduh supaya melepaskan seorang warga Filipina.

Semasa prosiding, peguam Azrul, Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda dengan alasan insaf dengan perbuatan yang dilakukan.

“Dia perlu menanggung isteri dan empat orang anak selain menghidap penyakit diabetes dan buah pinggang.

“Anak guam saya merupakan salah seorang daripada dua pegawai Imigresen yang membantu pihak berkuasa dalam menjatuhkan sindiket cop palsu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Shahrom Idris mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

“Hukuman kelak perlu menggambarkan keseriusan kesalahan yang dilakukan dan sebagai amaran kepada masyarakat agar tidak melibatkan diri dengan rasuah,” katanya.