DAP sokong Azalina dilantik Speaker Dewan Rakyat

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - DAP menyambut baik cadangan yang mencalonkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Speaker Dewan Rakyat untuk menggantikan Datuk Azhar Azizan Harun.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini berikutan prestasi Azhar Azizan yang mengecewakan dan buruk, gagal menegakkan ketinggian Parlimen bebas daripada perintah eksekutif, serta keingkaran dan ketidakpatuhan terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen semasa darurat.

Beliau berkata, DAP ingin mendapatkan pandangan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu mengenai bagaimana beliau akan menggunakan jawatan Speaker secara berbeza berbanding Azhar Azizan.

"Parlimen di bawah Azhar Azizan dianggap telah berubah daripada sumber demokrasi menjadi sekadar sebahagian jabatan kepada eksekutif di bawah Perdana Menteri sebelum ini yang dipergunakan secara khusus untuk mempertahankan pegangan kuasa yang lemah terutama setelah kehilangan majoriti Parlimen.

"Timbalan Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo telah bertemu dengan Azalina ingin membincangkan cadangannya mengenai pilihan raya semula atau 'recall election' sebagai sebahagian daripada pakej rang undang-undang anti lompat parti.

"DAP bersedia untuk berbincang lebih jauh jika beliau serius untuk mengemukakan namanya menggantikan Azhar Azizan bagi mengembalikan imej dan kredibiliti Parlimen yang telah dirosakkan teruk oleh ketundukan Azhar Azizan kepada perintah eksekutif," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Parlimen tidak boleh terus hilang atau bergerak dalam vakum politik dengan Speaker memainkan peranan hanya patuh dan bersetuju semata-mata bagi mempertahankan Perdana Menteri.

Katanya, sekiranya Parlimen dibenarkan untuk memenuhi mekanisme semak dan imbang serta bersidang semasa darurat, jawapan mungkin telah dapat diberikan mengenai Covid-19 dan krisis ekonomi yang dapat mengurangkan kenaikan rekod tertinggi jangkitan dan kematian.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, Azalina perlu menyusun rancangannya, bagaimana untuk mengelakkan Parlimen menjadi sekadar 'rubber-stamp' kepada Perdana Menteri semata-mata dan mengangkat ketinggian Parlimen seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Rakyat mahu Parlimen menjadi institusi demokrasi utama memberikan perbezaan positif dalam kehidupan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu katanya, DAP menyetujui sokongannya agar seorang ahli Parlimen pembangkang dilantik sebagai salah seorang timbalan speaker bagi menghormati prinsip asas bahawa Parlimen dimiliki oleh semua ahli Parlimen bukan hanya pihak kerajaan tetapi pembangkang.

"Pakatan Harapan (PH) mencadangkan bekas Timbalan Speaker dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk jawatan Timbalan Speaker yang baru-baru ini dikosongkan oleh Azalina," katanya.