Pil kuda rangsang seks?

Pil kuda sebagai gantian kepada vigra untuk meningkatkan daya seksual diakui 'berkesan' kerana bahan itu bersifat rangsangan yang boleh menimbulkan rasa seronok. Gambar kecil: Affarizan
A
A

PASIR MAS - Pengambilan pil kuda sebagai gantian kepada vigra untuk meningkatkan daya seksual diakui 'berkesan' kerana bahan itu bersifat rangsangan yang boleh menimbulkan rasa seronok.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Farmasi Cawangan Amalan dan Perkembangan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Affarizan Sidek berkata, gambaran keseronokan yang berpunca daripada rembesan dopamine itu boleh mempengaruhi seseorang individu atau penagih untuk mencari keseronokan dengan melakukan hubungan seks.

"Ada satu kajian yang dilakukan mendapati lelaki yang menggunakan methamphetamine pada awalnya akan meningkatkan kualiti dan kuantiti seks serta puncak syahwat yang menyeronokkan selain kawalan yang baik.

"Namun keadaan ini menurun secara beransur-ansur, apa yang berlaku selepas itu adalah pengurangan nafsu seks (libido), mati pucuk, ejakulasi pra matang dan tiada kawalan terhadap seksual," katanya.

Menurutnya, disebalik 'keseronakan' itu terselit bahaya yang boleh membawa kepada kepada orientasi seksual melampau.

Katanya, orientasi yang melampau itu seperti bertukar-tukar pasangan, seks luar tabii rambang dan pemerkosaan gara-gara nafsu sudah menjadi tidak terkawal akibat pengambilan bahan terlarang itu.

Affarizan berkata, perkara itu boleh membawa kesan kepada masyarakat setempat secara sosialnya.

Katanya, ia juga boleh meningkatkan insiden penyakit berkait hubungan seksual seperti HIV, sifilis dan gonorrhea.

"Kesemua ini boleh mengancam nyawa sendiri dan pasangan.

"Persepsi pengguna methamphetamine yang menganggap bahawa methamphetamine boleh meningkatkan daya seksual perlu diubah agar ia tidak dijadikan satu tujuan utama penggunaannya," katanya.

Affarizan, perkara ini perlu dipandang serius kerana pil kuda boleh memberikan mudarat yang cukup berat bukan sahaja pada individu malah masyarakat dan negara turut menerima impaknya.

Sebelum ini Sinar Harian ada melaporkan pengambilan pil kuda sebagai vigra bagi membangkitkan nafsu dilihat menjadi trend dalam kalangan lelaki di jajahan ini bagi merangsang daya seksual mereka.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil siasatan yang dilakukan oleh pihaknya ketika tangkapan dilakukan ke atas suspek.