Anak lelaki Gaddafi dibebaskan dari penjara Libya

Saadi - Foto Getty Images
Saadi - Foto Getty Images
A
A
A

TRIPOLI - Seorang anak lelaki kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi iaitu Saadi yang juga bekas pemain bola sepak profesional di Itali telah dibebaskan dari penjara, menurut Kementerian Kehakiman pada Ahad.

Dia sebelum ini dituduh terlibat dalam jenayah yang menentang para penunjuk perasaan pada tahun 2011 sehingga tersungkurnya pentadbiran Gaddafi dan didakwa membunuh seorang jurulatih bola sepak di negara itu, Bashir al-Rayani pada tahun 2005.

Bagaimanapun, Saadi, 48, yang pernah bermain dengan beberapa kelab bola sepak di Itali antaranya ialah Udinese Calcio dan U.C Sampdoria dan pasukan kebangsaan Libya didapati tidak bersalah membunuh Bashir pada tahun 2018.

Dalam pada itu, satu lagi sumber pejabat pendakwa raya mengesahkan kepada AFP bahawa Saadi telah dibebaskan.

Perdana Menteri sementara Libya, Abdul Hamid Dbeibah pada awal Isnin turut mengesahkan bahawa bekas pemain bola sepak profesional itu telah dibebaskan dari penjara berdasarkan kepada arahan mahkamah sebelum ini.

Menurut laporan portal berita The Guardian, pembebasan Saadi dibuat hasil daripada rundingan yang diadakan antara Abdul Hamid dengan pemimpin kanan puak kabilah, kata satu sumber rasmi.

Satu lagi sumber menyatakan, rundingan tersebut turut melibatkan bekas Menteri Dalam Negeri, Fathi Bashagha.

Dia juga dilaporkan menjadi komander sebuah pasukan khas Libya yang terlibat dalam peperangan saudara di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Laporan-laporan media menyatakan Saadi yang merupakan anak ketiga Gaddafi telah pun terbang ke Turki.

Dalam penentangan terhadap kepimpinan Gaddafi yang dianggap bersikap diktator, bekas pemimpin tersebut mati dibunuh oleh rakyatnya sendiri pada tahun 2011.

Negara itu yang kemudian terjerumus ke dalam ketidakstabilan sehingga kini turut menyaksikan tiga daripada anaknya juga terbunuh. - Agensi