Ibu, bapa tiri didakwa dera anak 16 bulan

Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Isnin.
Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Ibu kandung dan bapa tiri didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap anak lelakinya yang berusia 16 bulan, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan tertuduh Muhammad Afiq Abdullah, 23, dan isterinya yang berusia 17 tahun sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saifol Sayuti.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah didapati melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di bahagian kepala, mata, badan dan tapak kaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor,Air Kuning Selatan, Tampin pada 3 hingga 25 Ogos lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap Muhammad Afiq Abdullah manakala isterinya RM6,000 dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Christhoper Enteri Anak Mawan dan tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.

Kes akan disebut semula pada 4 Oktober depan di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah bagi menunggu laporan perubatan mangsa.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Bayi 16 bulan disyaki mangsa dera ibu dan bapa tiri