Kes culik guna van merah palsu

Keratan Sinar Harian, 27 Februari lalu.
Keratan Sinar Harian, 27 Februari lalu.
A
A
A

PONTIAN - Polis mengesahkan maklumat yang diterima berkenaan laporan kes culik murid melibatkan van merah di sebuah sekolah rendah di daerah ini yang tular pada minggu lalu adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, hasil siasatan mendapati maklumat diberikan murid berusia 9 tahun itu lebih kepada meraih perhatian berikutan ibunya dikatakan lambat menjemputnya di sekolah.

“Selepas habis waktu sekolah biasanya ibu murid ini akan datang menjemputnya di sekolah, tetapi pada hari itu, ibunya lambat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Pontian, hari ini.

Menurutnya, orang awam sepatutnya tidak menularkan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian ini kerana ia masih dalam siasatan.

“Banyak yang ditularkan di media sosial tidak tahu sumber kesahihannya. Ini menyebabkan ibu bapa dan orang awam risau kerana kes yang tular ini melibatkan kanak-kanak.

“Saya minta rujuk dulu sumber yang berita yang diterima dari media sosial. Jangan mudah kita tularkan kerana belum pasti kesahihannya,” katanya.

Sinar Harian pada 27 Febuari lalu melaporkan polis menerima laporan berkaitan cubaan menculik murid di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Terdahulu tular mesej berlaku kejadian culik melibatkan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Api-api di sini kira- kira jam 1.30 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Penculik yang dikatakan menaiki van merah itu cuba mengumpan murid tersebut dengan memberikannya RM50, namun murid itu dikatakan panjang akal kerana bertindak masuk ke kawasan sekolah.