X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

ADUN Terengganu dinasihat tidak rentas negeri

Pusat pentadbiran kerajaan Terengganu, Wisma Darul Iman.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dinasihatkan berada dalam negeri sepanjang tempoh 14 hari sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berlangsung bermula 13 September ini.

Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali berkata, nasihat itu bagi mengelak berlaku penularan Covid-19 yang dikhuatiri mengganggu Sidang DUN.

"Ia perlu dilakukan kerana mengambil kira kemungkinan penularan varian Beta dan Delta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi," katanya menerusi sidang media secara atas talian di sini, pada Isnin.

Selain itu beliau berkata, persidangan DUN bagi mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN ke-14 selama tiga hari minggu hadapan hanya membenarkan ADUN serta petugas berada di dalam dewan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, ia bagi mematuhi garis panduan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun negeri itu kini telah berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sidang DUN akan berlangsung bermula jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari sahaja sepanjang tiga hari persidangan.

"Sepanjang tempoh itu, hanya ADUN dan petugas dewan sahaja dibenarkan masuk manakala ketua jabatan pula diminta mengikuti secara atas talian bagi mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang jarak yang dekat).

"Kesemua mereka juga diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin dan menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum sidang DUN iaitu pada 9 September selain menjalani ujian pengesanan Covid-19 RTK-Antigen (Saliva Test) setiap hari sepanjang Sidang DUN," katanya.

Sementara itu katanya, perkembangan sidang DUN boleh diikuti secara langsung melalui melalui platform media kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.

"Wakil media yang membuat liputan sepanjang sidang DUN perlu berada di tempat khas dan tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan.

"Sidang media atau temubual oleh pemberita boleh dibuat di tempat yang dikhaskan sahaja," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!