Tiga ADUN nafi kritik kepimpinan Aminuddin

Ravi (kiri) dan Mohamad Rafie ketika ditemui pemberita di pekarangan Wisma Negeri pada Isnin.
Ravi (kiri) dan Mohamad Rafie ketika ditemui pemberita di pekarangan Wisma Negeri pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan menafikan terlibat dalam membuat kenyataan media telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kenyataan berhubung perkara itu mula tersebar di kumpulan aplikasi WhatsApp pada malam Ahad yang turut mengaitkan nama ADUN Sri Tanjung, Datuk M Ravi; ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.

Ravi ketika ditemui media di Wisma Negeri mengakui mereka sebelum ini ada mengadakan perbincangan supaya jawatan Pengerusi MPN diberi kepada individu lain.

"Memang ada cadangan sebelum ini, tetapi Aminuddin kekal sebagai Menteri Besar kerana kita nampak beliau perlu fokus kepada ekonomi Negeri Sembilan.

"Bagi saya, tugas beliau itu berat dan sebab itu saya serta beberapa rakan ada beri cadangan untuk menggantikan Pengerusi MPN yang baharu bertujuan mengukuhkan parti bagi menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15)," katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan turut mengakui telah menandatangani akaun bersumpah bersama beberapa rakan lain mengenai perkara itu untuk diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ravi menyifatkan penyebaran kenyataan itu kepada media sebagai salah guna kuasa kerana ia hanya di peringkat dalaman parti di negeri ini sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Ini hanya perbincangan saja.

Tapi semalam, saya tengok ada keluar kenyataan media kata saya turut menyokong untuk menjatuhkan dan tidak percaya kepada pemimpin tertinggi negeri.

"Itu saya tidak setuju kerana ia tidak dibincang terlebih dahulu.

Bila sudah tular, ia boleh jejaskan parti," katanya.

Katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat secara tertutup bersama ahli jawatankuasa PKR minggu ini untuk membincangkan perkara itu.

Sementara itu, Mohamad Rafie berkata, ramai dalam penyokong parti tidak berpuas hati tentang prestasi Aminuddin selaku Pengerusi PKR Negeri Sembilan.

"Cuma ia masalah biasa dalam mana-mana organisasi parti dan saya melihat ia ibarat masalah kocakan air dalam cawan.

"Ini isu dalaman parti dan sebaiknya kita usahakan untuk selesaikan dalam parti, tidak wajar dihebahkan dalam media," katanya yang juga Timbalan Ketua Cabang Seremban.

Dalam pada itu, Diew Ching berkata, beliau tiada hadir dalam mesyuarat itu dan jika ada masalah parti ia perlu di rujuk kepada parti dan tidak perlu diuar-uarkan.

Ismail yang merupakan Ketua Cabang Rasah pula enggan mengulas mengenai kehadirannya dalam majlis membaca memorandum menolak kepimpinan Aminuddin pada Ahad.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kepimpinan PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin selaku Pengerusi MPN.

Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusof Tapar berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Dalam pada itu, Aminuddin ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut berkenaan kenyataan media berkenaan.

"Saya tiada masalah, tanya kepada mereka yang telah buat kenyataan," katanya.