X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Pemuda UMNO usaha tuntut i-Citra

Asyraf Wajdi
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO sedang berusaha mendapatkan janji temu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan minggu ini bagi menuntut pengeluaran minimum i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘one off’.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak akan berhenti membawa suara rakyat supaya i-Citra ditambah baik dengan membenarkan pencarum berbuat demikian atau jumlah yang berkadaran dengan baki minimum dalam Akaun 1 dan Akaun 2 KWSP.

“Ramai yang mesej peribadi mengharapkan Pemuda UMNO terus bersuara dalam isu-isu menyentuh #TuntutanRAKYAT.

“Insya-ALLAH, sebagaimana yang saya sendiri nyatakan komitmen sebelum ini, Pemuda UMNO tidak akan berhenti malah akan terus menjadi lidah penyambung dan juru bicara rakyat bagi mengangkat isu-isu menyentuh kepentingan semua kepada pihak kerajaan.

“Minggu ini sedang berusaha dapatkan slot temu janji untuk bertemu dengan CEO KWSP,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Selain itu, ujar Asyraf, tuntutan rakyat telah dibentangkan dan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Ogos lalu.

Menurutnya, tindakan susulan dilakukan beliau sendiri dengan Pejabat Perdana Menteri bagi memastikan beberapa isu mendesak seperti Bantuan Khas Covid-19 dapat segera dikreditkan ke akaun penerima.

“Selain itu, Pemuda UMNO akan terus melaksanakan tindakan susulan dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya tuntutan rakyat yang lain dapat dipenuhi.

“Antaranya, isu moratorium tanpa faedah terakru, moratorium Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), birokrasi dalam rayuan dan perkara-perkara lain,” ujarnya.

Jelas Asyraf, beliau berharap usaha tersebut dapat dipermudahkan demi rakyat yang berada dalam kesempitan dan kesusahan ketika ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!