Tiga beranak nekad naik motosikal dari Perak ke Selangor

Keluarga berkenaan tinggal di hotel bajet susulan tiada tempat tinggal sebaik tiba dari Perak.
Keluarga berkenaan tinggal di hotel bajet susulan tiada tempat tinggal sebaik tiba dari Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Hilang pekerjaan disebabkan Covid-19 menyebabkan seorang lelaki bersama isteri dan anak berusia enam bulan nekad berpindah dari Perak ke Selangor dengan motosikal.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, keluarga itu telah meminta sumbangan orang ramai di sebuah stesen minyak selain tiada tempat tinggal.

Menurut kenyataan itu, hasil daripada maklumat orang awam, Skuad Saidina Umar (SSU) LZS meninjau keluarga itu dan menemui keluarga berkenaan pada Ahad di sebuah hotel bajet.

"Hasil siasatan mendapati pasangan muda ini mempunyai rekod penerima bantuan LZS namun ditamatkan setelah berpindah ke Perak tahun lalu.

"Di Perak, mereka juga menerima pelbagai bantuan daripada pihak masjid, penduduk kampung dan Majlis Agama Islam Perak," menurut perkongsian itu pada Ahad.

Kenyataan itu turut menyebut pasangan muda berkenaan terbeban akibat tiada pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Anaknya yang berusia enam bulan terpaksa dibawa bersama menaiki motor dari Perak ke Selangor.

"Mereka merancang untuk menumpang di rumah keluarga di Selangor namun tidak dapat berbuat demikian akibat masalah keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

LZS berkata, untuk sementara waktu, keluarga ini ditempatkan di hotel bajet dan bantuan kecemasan turut disalurkan kepada mereka.