Keputusan rayuan BPR pada penghujung September

Mohd Shahar (tengah) mengagihkan cenderamata kepada orang ramai yang mengambil baucar tunai BKC di BSN Triang, Bera pada Isnin.
Mohd Shahar (tengah) mengagihkan cenderamata kepada orang ramai yang mengambil baucar tunai BKC di BSN Triang, Bera pada Isnin.
A
A
A

BERA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mengumumkan keputusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada penghujung September ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan menyedari keluhan rakyat yang masih menunggu rayuan BPR masing-masing.

"Jangan risau, jika sekiranya mereka yang dalam rayuan lulus dengan kelayakan sedia ada, kerajaan akan umumkan keputusan BPR pada hujung September ini.

"Sekiranya lulus, mereka juga akan memperoleh Bantuan Khas Covid-19 (BKC), namun jika tidak lulus kita akan menggunakan kaedah silang data dengan menyemak data pencukaian.

"Jika memenuhi kriteria M40, mereka juga tidak akan terkecuali menerima bantuan ini," katanya pada sidang akhbar di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Triang di sini, Isnin.

Hadir sama, Pengarah BSN Pahang, Shahrul Anuar Hamid dan Ketua Khidmat Pengurusan BSN Pahang, Rosina Hamzah.

Turut berlangsung, sesi libat urus secara maya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui Google Meet di BSN Triang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shahar
Mohd Shahar

Tambah Mohd Shahar, kerajaan mesti membantu rakyat yang terkesan, namun dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau mengakui kelewatan pembayaran BKC berikutan perubahan kerajaan, namun perkara itu menjadi keutamaan Kementerian Kewangan untuk dilakukan segera selepas kerajaan baharu terbentuk.

"Insya-ALLAH, kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk memberikan bantuan, sebab itu dalam kerajaan pada hari ini kita menggunakan penggabungan fiskal untuk melihat perbelanjaan dan penggunaan kewangan negara yang lebih kepada rakyat," katanya.

Sebelum ini, pada 28 Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dengan tujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

BKC telah diperkenalkan bagi memastikan golongan B40 dan M40 mendapat bantuan tambahan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021 yang dijangka akan memanfaatkan hampir 10 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.

Fasa 1 BKC yang memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 4.5 juta individu bujang akan dibayar secara berperingkat mulai 6 September (Isnin) bagi penerima B40 dan Khamis bagi penerima M40 melibatkan peruntukan berjumlah RM3.1 bilion.

Secara keseluruhan, peruntukan berjumlah RM17.1 bilion telah disediakan oleh kerajaan pada tahun ini bagi pelaksanaan BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan BKP yang telah dan akan disalurkan kepada penerima yang layak.