'Semua orang politik patut tinggalkan PAFA, Perak FC'

Khairul Shahril, Sham lepas jawatan dalam Perak FC. (Gambar kecil: Syamsul Baharin Putra)
Khairul Shahril, Sham lepas jawatan dalam Perak FC. (Gambar kecil: Syamsul Baharin Putra)
A
A
A

PENYOKONG bola sepak Perak menggesa semua ahli politik melepaskan jawatan mereka di dalam Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mahupun Perak FC.

Presiden Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (Perak FC MOBS), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, keberadaan ahli politik di dalam badan induk bola sepak negeri ini dan pengurusan pasukan menyebabkan fokus mereka terhadap pentadbiran pasukan tidak dapat dilakukan dengan baik.

Menurutnya, mereka tidak dapat menggalas tanggungjawab dengan baik kerana mungkin disebabkan sebahagian mereka terdiri dari golongan pemimpin parti-parti politik yang terlibat di dalam ketidakstabilan politik semasa dan sentiasa berubah-ubah ketika ini.

"Oleh sebab itu, kami di peringkat persatuan dan kelab-kelab penyokong serta peminat bola sepak Perak yang sentiasa setia bersama pasukan Perak merasakan sudah tiba masanya Perak FC mahupun PAFA dilepaskan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik dari mengurus tadbir kedua-dua institusi berkenaan. Silalah letak jawatan.

"Kami mahu ada pihak yang betul-betul minat dan mampu mengalas tanggungjawab terhadap pengurusan dan kewangan untuk pasukan Perak. Ini kerana sukan bola sepak ini merupakan satu-satunya sukan rakyat yang menyatukan rakyat Perak tanpa mengambil kira ideologi politik," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Menurutnya, peletakan jawatan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC sahaja tidak cukup.

Jelas Syamsul Baharian Putra, desakan agar ahli politik meninggalkan PAFA dan Perak FC wajar berdasarkan kepincangan yang berlaku dalam pengurusan pasukan Perak pada musim ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyembah cadangan agar Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini campur tangan bagi membantu urus tadbir pengurusan PAFA dan Perak FC kelak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika terdapat pihak korporat yang mahu mengambil alih kepimpinan Perak FC juga perlu diberi peluang sedemikian.

Khairul Shahril dan Sham pada Isnin mengesahkan peletakan jawatan mereka sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairul Shahril, Sham lepas jawatan dalam Perak FC