Itali kongsi rekod tanpa kalah dengan Brazil, Sepanyol

Cheillini (kiri), mengasak pemain Switzerland pada perlawanan berkenaan. - Foto Football Italia
Cheillini (kiri), mengasak pemain Switzerland pada perlawanan berkenaan. - Foto Football Italia
A
A
A

BEK kental Itali, Giorgio Chiellini berbangga skuad pasukan itu kini berkongsi rekod tanpa kalah dengan Brazil dan Sepanyol apabila terikat tanpa jaringan ketika berdepan Switzerland pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di St. Jakob Park, pada Ahad.

Menurut Chiellini, keputusan itu telah melebarkan rekod tanpa kalah skuad Azzurri kepada 36 perlawanan di peringkat antarabangsa setakat ini dan sekali gus menyamai rekod tanpa kalah yang dicatatkan Brazil dan Sepanyol sebelum ini.

“Kami beraksi dengan baik pada perlawanan berdepan Switzerland ini, malah lebih baik berbanding ketika menewaskan mereka, 3-0 pada saingan Euro 2020, Jun lalu.

“Cuma, mungkin kerana kami tidak begitu bernasib baik ketika berada di depan pintu gol lawan dan menyebabkan kegagalan jentera serangan menjaringkan gol.

“Oleh itu kelemahan ini perlu segera diperbaiki agar kami dapat meneruskan prestasi cemerlang bagi aksi kelayakan ini nanti,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir juara Euro 2020 itu mengalami kekalahan adalah ketika tewas 0-1 berdepan Portugal dalam kejohanan Liga Negara-Negara UEFA (Nations League), pada 10 September 2018 lalu.

Sejak kekalahan berkenaan, Itali dilihat, tidak lagi mudah untuk ditewaksan dan ia dapat disaksikan dengan keputusan baik yang diperolehi Itali pada saingan kelayakan Euro 2020 sehinggalah ke saingan Euro Jun lalu yang menyaksikan skuad Azzurri itu muncul juara.

Sementara itu Chiellini menyifatkan Itali seharusnya memenangi perlawanan berkenaan, namun pemain tengah, Jorginho gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Chiellini menyifatkan kegagalan itu sebagai perkara biasa dalam bola sepak dan yakin ia tidak akan berulang lagi.

“Jika Jorginho, berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti itu, keputusan perlawanan mungkin berbeza.

“Namun, diharapkan kesemua pemain akan terus fokus bagi mengharungi baki saingan dalam aksi kelayakan ini nanti,” katanya.