Wanita rugi lebih RM173,000 angkara 'Datuk Riduan'

 Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara mendedahkan maklumat bank dan jumlah wang dalam simpanan yang ada, seorang wanita menjadi sasaran sindiket penipuan sehingga mengalami kerugian lebih RM173,000.

Wanita berusia 51 tahun itu berbuat demikian kerana panik setelah dia dihubungi beberapa individu berhubung kes tunggakan cukai selain turut dikehendaki kerana terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nasib malang menimpa wanita itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya pada 3 Ogos lalu berhubung tunggakan cukai syarikat berjumlah RM30,400.

Menurutnya, mangsa turut menerima panggilan daripada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebelum diminta berurusan dengan Datuk Riduan yang mengendalikan kes tersebut.

"Mangsa diberitahu namanya telah digunakan untuk mendaftar sebuah syarikat dan dia turut dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum diarahkan supaya mendedahkan maklumat bank serta wang simpanan dimiliki untuk siasatan.

"Mangsa yang panik berjaya diperdaya hingga mendorongnya mendedahkan semua maklumat lima akaun banknya dengan jumlah wang simpanan mencecah RM200,000," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Wazir berkata, mangsa juga telah diarah memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan untuk siasatan lanjut berhubung sumber wang tersebut diperoleh.

"Mangsa akur apabila membuat transaksi pemindahan wang itu sebanyak 30 kali melalui sembilan akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM173,050 bermula pada 6 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas wang tersebut dipindahkan, mangsa dihubungi Datuk Riduan dan dia diarahkan agar mengumpul semua resit transaksi dalam satu fail dan meletakkanya dalam tong sampah sebuah stesen minyak.

"Mangsa mula curiga dan tidak menurut arahan itu sebaliknya dia menceritakan kejadian itu kepada adiknya sebelum dinasihatkan agar membuat laporan polis kerana syak telah ditipu," katanya.

Tambah beliau mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.