Tanam anggur selepas bisnes kedai makan terjejas

Suhaili dan Ismail menunggu masa untuk buah anggurnya dipetik.
Suhaili dan Ismail menunggu masa untuk buah anggurnya dipetik.
A
A
A

PORT DICKSON - Tidak mahu terus mengenang nasib apabila perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19, peniaga kedai makan di Kampung Baru Si Rusa di sini nekad beralih kepada bidang tanaman anggur sejak setahun lalu.

Meskipun tanpa sebarang pengetahuan khusus dalam bidang terbabit, namun pasangan suami isteri, Ismail Mohd, 45, dan Suhaili Ahmad, 44, bersyukur apabila percubaan mereka tidak sia-sia.

Kesedihan dek kerana perniagaan yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu itu terpaksa ditutup kini sedikit terubat apabila melihat pokok anggurnya sudah mengeluarkan hasil.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2019, bisnes saya betul-betul jatuh sehingga kami nekad menjual barang-barang perniagaan.

“Dalam tempoh itulah suami yang sememangnya berminat dalam bidang pertanian mula mempelajari cara menanam anggur di YouTube dan kami beli anak pokok anggur pertama di Melaka,” kata Suhaili kepada Sinar Harian baru- baru ini.

Menurut Suhaili, beliau bermula dengan tiga jenis anak pokok anggur dan kini sudah mempunyai 80 pokok iaitu 21 jenis anggur yang ditanam di hadapan rumahnya.

Antara anak pokok anggur yang dijual.
Antara anak pokok anggur yang dijual.

Jelasnya, penjagaan pokok anggur tidak susah, tetapi ia memerlukan sumber pencahayaan mencukupi selain sangat sensitif dengan hujan.

Artikel Berkaitan:

“Ramai beranggapan tanaman anggur hanya boleh hidup di tanah tinggi (cuaca sejuk) seperti Cameron Highlands, tapi berdasarkan eksperimen saya, anggur lebih segar apabila mendapat sumber matahari yang mencukupi dan apabila hujan, ia akan cepat rosak.

“Sebab itulah apabila saya beritahu saya nak tanam anggur, ada yang cakap saya dan suami gila,” katanya.

Ujarnya, bagi mengelakkan pokok anggur rosak apabila hujan lebat, bumbung penahan haba dipasang.

Suhaili menunjukkan pokok anggurnya yang sudah mengeluarkan hasil di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson.
Suhaili menunjukkan pokok anggurnya yang sudah mengeluarkan hasil di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson.

Menurutnya, daripada 21 jenis anggur yang ditanam, terdapat tujuh jenis yang sudah berbuah iaitu IAC, Jupiter, Isabella, Vales, Dakon, Alfonso dan Red Globe.

Malah, beliau juga menjual benih pokok anggur dengan harga RM50 hingga RM250 mengikut jenis dan saiz pokok.

“Kami yakin tanaman anggur boleh pergi jauh dan berharap kebun anggur kami ini boleh menjadi antara lokasi tarikan pelancong ke Port Dickson suatu hari nanti.

“Usaha kami juga mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang menyumbang bumbung penahan haba,” katanya.

Suhaili menunjukkan buah anggur yang ditanam di rumahnya.
Suhaili menunjukkan buah anggur yang ditanam di rumahnya.