PJS sambut baik inisiatif ASTAF bagi akhiri kemelut PSM

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

PESURUHJAYA Sukan menyambut baik komitmen Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ASTAF) dalam memastikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kembali menyertai semula gabungan tersebut sebaik selesai pemilihan kepimpinan baharu.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya mengalu-alukan komitmen badan induk sepak takraw Asia tersebut dalam usaha mengakhiri kemelut yang melanda PSM pada ketika ini.

"PJS berterima kasih dengan sokongan dan komitmen pihak ASTAF untuk tidak menyisihkan penglibatan PSM dalam arena takraw Asia.

"PJS, G11 (bekas ahli gabungan) dan PSM baharu sahaja menyelesaikan beberapa perkara berkenaan penambahbaikan perlembagaan dan urus tadbir PSM yang menjadi pertikaian kemelut ini.

"Bagaimanapun, PJS ingin menjelaskan bahawa PSM perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan PSM kembali sebagai ahli ASTAF. Langkah seterusnya ialah dengan menyegerakan Mesyuarat Agung Luar (EGM) bagi meluluskan pindaan Perlembagaan PSM dan mengadakan pemilihan kepimpinan yang baharu badan induk tersebut sekaligus melengkapkan fasa pemulihan PSM," katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut Ibrahim, PJS baru-baru ini telah mengadakan perjumpaan dengan semua ahli gabungan termasuk Perlis dan ahli-ahli bersekutu bagi memberi penerangan mengenai status langkah-langkah pemulihan PSM.

Malah jelasnya, perjumpaan itu juga turut membincangkan mengenai status G11 sebagai ahli gabungan, pindaan Perlembangaan dan persediaan EGM.

“PSM perlu mengambil peluang dan ruang yang diberikan oleh ASTAF untuk segera menyelesaikan proses pemulihan ini dan mula merancang program-program pembangunan sepaktakraw yang lebih komprehensif,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ASTAF) dalam program Santai Persatuan Sepak Takraw Perlis pada Isnin dilaporkan akan memastikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kembali semula dibawah badan induk tersebut sebaik barisan kepimpinan baru dipilih.

Untuk rekod, PJS kini giat menyelia proses pemulihan dan penambahbaikan badan induk sepak takraw negara tersebut selepas G11 bersetuju untuk tidak menubuhkan persatuan baharu.

Malah PJS turut bersedia menyokong permohonan PSM menganggotai semula ASTAF bagi membolehkan program pembangunan sepak takraw negara digerakkan dengan lebih lancar pada masa depan.