Bantuan tiba ketika rakyat dalam 'kelemasan'

BKC Fasa 1 yang akan dikreditkan pada hari ini.- Gambar hiasan Foto 123RF
BKC Fasa 1 yang akan dikreditkan pada hari ini.- Gambar hiasan Foto 123RF
A
A
A

BANTUAN Khas Covid-19 (BKC) ibarat 'talian hayat' penting untuk rakyat yang berada dalam 'kelemasan' ketika keadaan ekonomi yang cukup susah kini.

Mereka yang kehilangan mata pencarian sekurang-kurangnya dapat 'bernafas' sementara menunggu cahaya kembali bersinar di hujung terowong.

Kesusahan yang berlaku pada ketika ini harus kita tanggung bersama dan tiada sesiapa harus jadi mangsa keadaan.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi kenyataannya berkenaan BKC Fasa 1 yang akan dikreditkan pada hari ini.

BKC yang diumumkan oleh kerajaan disambut baik oleh semua rakyat Malaysia yang rata-ratanya menanti sejak Ogos lalu.

Situasi tersebut boleh dilihat apabila ramai rakyat Malaysia melahirkan rasa syukur dan memberi reaksi positif selepas berita gembira tersebut diumumkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayaran BKC fasa satu secara berperingkat bermula 6 September

Diharapkan BKC dapat memberi keyakinan kepada masyarakat untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan ekonomi yang terkesan akibat wabak tersebut dan mampu memacu kembali ekonomi negara.

Bantuan itu merupakan inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang akan bermula pada 6 September (hari ini) dan dijangka selesai pada 10 September depan.

Artikel Berkaitan:

Kelayakan penerima BKC untuk golongan miskin tegar dan B40 adalah berdasarkan kriteria kelayakan BPR 2021 dengan jumlah pendapatan isi rumah atau warga emas (RM5,000 dan ke bawah), manakala individu bujang (RM2,500 dan ke bawah).

Selain itu, bagi kelayakan penerima M40 pula, golongan ini perlu melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan isi rumah (RM5,001 hingga RM9,000), manakala bujang (RM2,501 hingga RM5,000).

Bagi miskin tegar, isi rumah yang berkelayakan menerima jumlah bantuan sebanyak RM1,300, ia melibatkan tiga fasa pembayaran iaitu RM500, RM500 dan RM300; warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM500 melibatkan dua fasa pembayaran (RM200 dan RM300).

Sementara itu, penerima golongan B40, isi rumah dengan kelayakan bantuan sebanyak RM800 adalah melibatkan dua fasa pembayaran iaitu RM500 dan RM300 manakala warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM200 akan menerima sekali pembayaran.

Seterusnya, bagi penerima M40, isi rumah dengan kelayakan bantuan RM250, warga emas sebatang kara dan individu bujang (RM100) juga menerima sekali pembayaran.

Rakyat boleh melakukan semakan status BKC melalui https://bkc.hasil.gov.my.