Pilihan di tangan rakyat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MALAYSIA bakal memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung bulan Oktober ini selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Endemik bermaksud sesuatu penyakit yang sentiasa terdapat di dalam sesuatu kawasan seperti daerah, negeri atau negara. Salah satu contoh penyakit endemik yang terkenal adalah malaria, demam kuning dan demam denggi.

Penyakit malaria yang menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika satu ketika dulu adalah antara endemik yang mengancam dunia.

Tiga negara dalam dunia yang merekodkan wabak endemik paling tinggi adalah Republik Congo, Madagascar dan juga Peru.

Dalam waktu terdekat kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mudah termasuk membenarkan rakyat untuk bebas melakukan sebarang aktiviti termasuk merentas negeri. Persoalan paling besar, adakah kita akan meraikan perkara ini sebagai satu kejayaan atau satu bentuk kebebasan mutlak ?

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengatakan bahawa kerajaan terutama agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri tidak harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkaitan pematuhan SOP lebih-lebih lagi apabila semakin banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat.

Hamzah berkata, kerajaan juga tidak harus dipersalahkan sekiranya ada pihak tidak memainkan peranan dalam menjaga SOP termasuk majikan yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab itu ke atas pekerja mereka.

Sedarlah bahawa hidup tidak sama lagi seperti dahulu dan segalanya kini berada atas bahu sendiri sama ada mahu dijangkiti atau hidup selamat.

Artikel Berkaitan:

Dua bulan sahaja lagi dan kita akan dapat ‘kebebasan᾿ yang diinginkan, tetapi hidup atau mati, diri sendiri tentukan. Pilihan berada di tangan kita.

Pada ketika ini negeri yang masih berada dalam fasa satu ialah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah dan Johor.

Sementara negeri yang berada di Fasa Dua ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Sabah. Fasa Tiga ialah Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Labuan merupakan satu-satunya wilayah yang kini berada di Fasa Empat dengan kelebihan menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, tetapi mengikut SOP yang telah ditetapkan.