Isu Ziyad: Pilih dalam kalangan yang lebih arif, bebas

Ziyad Zokefli ketika beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada 31 Ogos lalu. Foto Bernama. Gambar kecil: Zolkples
Ziyad Zokefli ketika beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada 31 Ogos lalu. Foto Bernama. Gambar kecil: Zolkples
A
A
A

PENUBUHAN jawatankuasa siasatan dalaman menyiasat punca insiden menimpa Muhammad Ziyad Zolkefli menyebabkannya terlepas pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu dianggotai dalam kalangan mereka yang benar-benar berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, paling penting kesemua ahli jawatankuasa itu tidak melibatkan individu daripada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) malah pihak MSN sendiri.

“Pada pendapat saya, jawatankuasa ini perlu diwakili oleh individu yang benar-benar bebas tanpa ada pengaruh atau kawalan selain lebih arif selok belok perihal Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

“Ini penting sebagai persediaan untuk buat (SOP) prosedur operasi standard baharu atau penambahbaikan kerana insiden menimpa Ziyad ini merupakan kali pertama menimpa atlet negara di temasya sukan besar dunia.

“Apa yang berlaku di Paralimpik Tokyo 2020 tidak hanya menyebabkan Malaysia kehilangan pingat tetapi menjejaskan imej Malaysia apabila netizen mula menyerang atlet Ukraine sehingga Ziyad terpaksa merayu netizen berhenti menyerang secara maya atlet Ukraine tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersetuju menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman di bawah seliaan MSN dengan penglibatan anggota bebas bagi menyiasat punca insiden malang yang menimpa atlet berusia 31 tahun tersebut.

Tambah Ahmad Faizal, jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah selain bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salim Parlan dan ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Tambah Zolkples lagi, pemilihan ahli dalam kalangan mereka yang berpengetahuan dalam ilmu sukan adalah bagi memastikan tindakan dan keputusan diputuskan jawatankuasa siasatan dalaman tersebut sesuai dengan senario dunia sukan semasa pasca pandemik Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

“Kalau dilihat daripada senarai jawatankuasa berkenaan, ada nama jurulatih olahraga, Mohd Manshahar dan ia satu tindakan yang baik kerana sekurang-kurangnya ada individu yang faham, dan walaupun mungkin agak berbeza dalam beberapa perkara, mungkin dari segi pemahaman mengenai 'call room' atau sebagainya.

“Apa yang yang diputuskan jawatankuasa siasatan dalaman ini tidak hanya berupa tindakan terhadap kes kecuaian aspek teknikal tetapi juga akan menjadi rujukan persatuan sukan kebangsaan untuk atlet masing-masing selain kontinjen negara untuk temasya besar lain pada masa depan.

“Kita juga kena ingat bahawa tahun 2022 banyak lagi temasya sukan dunia akan berlangsung dan Malaysia akan diambil bahagian, jadi kita perlu bersedia supaya kes terpencil luar biasa ini tidak berlaku lagi,” katanya