7 remaja lelaki hilang di Gunung Hitam, Hulu Langat

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tujuh remaja dilaporkan hilang semasa mendaki Gunung Hitam berdekatan Sungai Lui, Hulu Langat pada Ahad.

Menerusi status dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku apabila terserempak dengan jentera bomba dan ambulans di lokasi kejadian.

"Patutlah siang tadi, kedengaran banyak kali bunyi siren bomba dan ambulans," katanya pada Ahad.

Pemilik akaun Facebook terbabit turut mendoakan agar usaha pencarian tujuh mereka yang hilang dipermudah dan ditemui dalam keadaan selamat.

"Ya ALLAH permudahkanlah jangan dipersulitkan dan Kau akhirkanlah dengan kebaikan," katanya.

Status dimuat naik itu menerima pelbagai tanda reaksi dan komen daripada pengendali Facebook lain.

Seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Amoi Liana' meninggalkan komen memaklumkan, dia terserempak dengan tujuh remaja terbabit sejurus turun dari mendaki.

"Mereka (tujuh remaja) baharu hendak mendaki Gunung Hitam. (Saya) sempat tegur dan mereka beritahu hendak berkhemah.

Artikel Berkaitan:

"Mereka sempat bergurau memaklumkan selepas habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) baru keluar dari sini," katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian gambar di Facebook menunjukkan terdapat papan tanda memaklumkan maklumat awal kejadian daripada pasukan mencari dan menyelamat.

Antara maklumat pada papan tanda itu memberitahu kesemua tujuh lelaki yang hilang itu berusia 18 tahun.

Pendakian dipercayai melalui trek dari Kem Sungai Lawing untuk mandi ke sungai, bagaimanapun kesemua mereka terkandas di lereng bukit selepas hujan.