Kantoi hisap syabu di pusat hiburan

21 pengunjung ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan tengah malam tadi.
A
A

SEBERANG PERAI UTARA- 21 pengunjung sebuah pusat hiburan ditahan dalam serbuan ketika sepasukan polis menjalankan Ops Pusat Hiburan di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dibuat di sebuah pusat nyanyian keluarga di Kepala Batas bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Menurutnya, sembilan daripada 21 pengunjung yang berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun itu didapati positif dadah.

"Daripada sembilan yang positif dadah itu, tujuh daripadanya adalah wanita berusia lingkungan 27 hingga 42 tahun. Kebanyakan mereka bekerja sendiri, berniaga dan penganggur.

"Hasil pemeriksaan ke atas semua pengunjung tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang. Ujian saringan dadah mendapati sembilan daripada 21 yang ditahan positif syabu," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Tambahnya, semua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati, mereka yang positif dadah adalah penagih jenis syabu yang datang ke pusat hiburan tersebut untuk berhibur dan melepaskan gian. Mereka akan direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan. Polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pusat-pusat hiburan yang berada di daerah ini," katanya.

Beliau juga meminta kerjasama masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan jenayah yang melibatkan pusat hiburan di daerah SPU.