UMK sasar universiti keusahawanan global

Datuk Hussamuddin Yaacub berucap ketika Pelancaran Pelan Strategik UMK 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi UMK. PHOTO: UMK
Datuk Hussamuddin Yaacub berucap ketika Pelancaran Pelan Strategik UMK 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi UMK. PHOTO: UMK
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyasarkan kecemerlangan untuk mencapai misi dan visi sebagai universiti keusahawanan tersohor di peringkat global menerusi Pelan Strategik UMK (PSU) 2021-2025.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, enam teras utama digariskan dalam usaha memacu kejayaan itu merangkumi keunggulan pelajar, kelestarian kewangan, keunggulan bakat, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi, kerelevanan program akademik dan pengantarabangsaan dan kebitaraan keusahawanan.

Menurutnya, teras tersebut akan disokong dengan 16 objektif strategi, 54 inisiatif strategik di samping 22 petunjuk prestasi utama (KPI) serta 77 kaedah pengukuran yang dinamik dan mengikut kesesuaian semasa bagi memastikan kesemua teras itu dapat direalisasikan dalam tempoh berkenaan.

“Pemantauan PSU ini juga berdasarkan kepada pencapaian KPI yang disejajarkan dengan KPI minister performance indicators (MPI), outcome based budgeting (OBB) dan keusahawanan pada peringkat kementerian.

“Universiti berharap pelan strategik yang digariskan ini dapat dijayakan oleh warga UMK bagi merealisasikan hasrat UMK menjadi universiti keusahawanan tersohor,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau sebelum itu menyertai Pelancaran Pelan Strategik UMK 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi UMK pada 26 Ogos lalu.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail (kanan) menyertai Pelancaran Pelan Strategik UMK 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian 26 Ogos lalu dan dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Hussamuddin Yaacub. PHOTO: UMK
Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail (kanan) menyertai Pelancaran Pelan Strategik UMK 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian 26 Ogos lalu dan dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Hussamuddin Yaacub. PHOTO: UMK

Majlis dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Azizi berkata, objektif PSU untuk menyokong agenda pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hub pengajian tinggi yang terunggul melalui PPT 2015-2025.

Sementara itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, dalam dunia baharu ketika ini sangat memerlukan individu yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan bagi menghadapi perubahan dan cabaran.

Menurutnya, masih ramai yang takut untuk menyahut cabaran atau ‘meletakkan kepala’ mereka pada risiko yang mendatang.

“Ramai takut kepada kegagalan dan lebih rela mengambil jalan selamat dengan tidak melakukan apa-apa daripada membuat kesilapan.

“Mentaliti sebegini tidak boleh ada di UMK kerana warga UMK harus berjiwa besar, harus menginginkan sesuatu di luar jangkaan dan bekerja keras bagi memastikan keinginan tersebut tercapai,” katanya.

Beliau berharap warga UMK dapat menghayati intipati Pelan Strategik UMK 2021-2025 dan seterusnya dijadikan sebagai sumber rujukan utama dalam melaksanakan dasar pembangunan universiti demi merealisasikan visi dan misi UMK.

Carta sasaran dan pencapaian kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2016 sehingga 2020. PHOTO: UMK
Carta sasaran dan pencapaian kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2016 sehingga 2020. PHOTO: UMK