Isu Ziyad pengajaran mahal buat kontinjen Malaysia

Megat Shahriman
Megat Shahriman
A
A
A

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin menyifatkan kontroversi membabitkan jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, satu pengajaran yang mahal harganya dan tidak boleh dilupakan buat kontinjen Malaysia.

Beliau mengakui kesilapan seumpama itu tidak dapat dielak oleh mana-mana negara sekalipun termasuk Malaysia semasa sukan atau kejohanan besar, namun beliau mengingatkan pegawai-pegawai agar kesilapan yang sama tidak diulangi pada masa depan.

“Kesilapan adalah sebahagian daripada asam garam dalam sukan. Sudah tentu ini satu pengajaran yang besar buat Malaysia terutama bagi jurulatih untuk lebih bersedia pada masa hadapan.

“Saya percaya mereka perlu memperbaiki dan menyusun semula tentang bagaimana mereka akan mengendalikan sesi panas badan atau latihan sebelum hari pertandingan agar tidak melakukan kesilapan yang sama,” katanya pada sidang media secara maya pada Ahad.

Sementara itu, Megat Shahriman yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata, protes dan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia (WPA) akan diteruskan sebaik temasya berakhir, meskipun selepas mengadakan pertemuan dengan CDM Ukraine, Olena Zaitseva di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada mereka akan membangkitkan isu Muhammad Ziyad ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika rayuan dibuat kepada IPC ditolak, Megat Shahriman berkata, beliau perlu mendapatkan khidmat seorang peguam terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi bahawa itulah sebabnya mengapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik panggilan dan kawasan menunggu di Stadium Olimpik Tokyo sangat penting sebagai bukti insiden itu bagi meneruskan tindakan selanjutnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: