Kenyataan Peguam Negara menyalahi konvensyen perlembagaan Parlimen

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (JPPH) menyifatkan kenyataan Peguam Negara berkenaan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahi amalan serta kelaziman konvensyen usul percaya atau tidak percaya di dalam Parlimen.

JPPH dalam satu kenyataan menegaskan, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan itu, ia jelas menunjukkan bahawa Seri Paduka Baginda telahpun bertitah agar proses keabsahan tersebut dilaksanakan sebagai memenuhi keperluan kehendak perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Malah titah Yang di-Pertuan Agong ini juga memperlihatkan hikmah dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda yang mengangkat praktis konvensyen di dalam Parlimen yang telah dilazimi dan dilaksanakan sekian lama.

"Konvensyen perlembagaan yang terkait rapat dengan undi percaya ini merupakan sebahagian daripada roh demokrasi berparlimen,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan itu ditandatangani bersama William Leong Jee Keen (Parti Keadilan Rakyat); Mohamed Hanipa Maidin (Amanah); Ramkarpal Singh (DAP); Sivarasa Rasiah (Parti Keadilan Rakyat); Muhammad Faiz Fadzil (Amanah); Fadhlina Sidek (Parti Keadilan Rakyat) dan Dr Zulqarnain Lukman (Amanah).

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keperluan absahkan pelantikan PM: Peguam Negara

Pada Sabtu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataannya memberitahu memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka tidak perlu undi percaya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, mereka berkata, amalan konvensyen ini telah dilaksanakan oleh beberapa orang Perdana Menteri yang terdahulu di mana mereka telah memperoleh sokongan majoriti dua per tiga yang jauh lebih meyakinkan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kepatuhan kepada konvensyen ini telah dilaksanakan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn pada tahun 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 bagi memastikan keabsahan mereka sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Seruan supaya diadakan usul percaya adalah supaya pelantikan tersebut disahkan. Sewajarnya, Peguam Negara menyokong cadangan yang ternyata boleh menyuburkan tradisi negara.

“Malah perlembagaan tidak terbatas kepada peruntukan sedia ada semata-mata malah segala amalan, praktis, kelaziman dan konvensyen yang selari dengan perlembagaan juga perlu diperkasakan,” ujarnya.

Jelas JPPH, perlembagaan tidak boleh dibaca secara mekanikal sebaliknya harus dilihat dan ditafsir secara konteks sejarah, kejadian semasa dan diperkukuhkan dengan konvensyen, amalan serta mekanisme untuk terus memperkukuhkan amalan demokrasi di Malaysia.