Kes rogol bawah umur meningkat ketika PKP di Kelantan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) ketika bercakap kepada pemberita. Turut hadir Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin (kanan) di Balai Polis Jelawat, Bachok pada Ahad.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) ketika bercakap kepada pemberita. Turut hadir Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin (kanan) di Balai Polis Jelawat, Bachok pada Ahad.
A
A
A

BACHOK - Jenayah rogol di Kelantan terutama membabitkan mangsa di bawah umur meningkat secara keseluruhan kepada 65 kes tahun ini khususnya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jumlah itu direkodkan bermula Januari hingga Julai dengan peningkatan sebanyak 11 kes berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, peningkatan ketara kesalahan jenayah seksual itu membabitkan mangsa di bawah umur yang pada dasarnya ‘suka sama suka’.

Menurutnya, bagaimanapun, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai rogol kerana membabitkan mereka yang berusia 16 tahun dan ke bawah.

“Antaranya adalah pasangan kekasih yang berusia seawal 13 hingga 16 tahun dan masih bersekolah.

“Lelaki atau pelaku pula berusia sehingga lebih 30 tahun yang ada dikenali menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp di dalam lingkungan daerah yang sama,” katanya selepas melawat Balai Polis Jelawat di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Ujar beliau, trend rekod jenayah rogol itu begitu membimbangkan terutama ketika musim PKP, selain kajian yang dibuat mendapati kejadian berlaku di rumah mangsa atau rumah perogol.

Artikel Berkaitan:

“Pasangan yang terbabit dalam kejadian ini mengenali antara satu sama lain dan melakukan perbuatan tersebut ketika ibu bapa tidur atau tidak ada di rumah.

“Mereka tidak bebas kerana PKP yang dilaksanakan menyekat pergerakan, namun tidak menghalang untuk melakukan perbuatan itu,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing agar dapat mengekang berlakunya jenayah rogol terutama dalam kalangan bawah umur.

Dalam pada itu, kata beliau, Pondok Polis Jelawat yang ditubuhkan pada 31 Oktober 2011 dinaik taraf kepada Balai Polis Jelawat pada 24 Mac tahun lalu dengan menempatkan 14 anggota diketuai oleh seorang sarjan mejar.

“Balai ini beroperasi sepenuhnya mulai hari ini (Ahad) bagi memberi kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat untuk membuat aduan kes-kes jenayah agar ketenteraman awam terpelihara,” katanya.