Dasar pengambilan pelajar MRSM kekal

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengumumkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan digunapakai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat Keluarga Malaysia.

Menurutnya, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga turut dikekalkan.

"Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

"Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar," katanya pada sidang akhbar ketika ditemui di Hospital Kuala Nerang pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB dan hadir sama Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr Muhammad Shauqi Abdul Kadir serta Koordinator Pelitawanis TNB Negeri Kedah, Siti Safinaz Kamaruddin.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM, menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

Menurutnya, MRSM hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Artikel Berkaitan:

Dari kanan: Dr Muhammad Shauqi, Mahdzir dan Siti Safinaz melihat mesin hemodialisis yang disumbangkan kepada Hospital Kuala Nerang pada Ahad.
Dari kanan: Dr Muhammad Shauqi, Mahdzir dan Siti Safinaz melihat mesin hemodialisis yang disumbangkan kepada Hospital Kuala Nerang pada Ahad.

"Kita berterima kasih kepada masyarakat di luar sana yang memberikan pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi sistem pendidikan MRSM.

"Permohonan yang diterima tahun ini berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan pada tahun 2022," ujarnya.

Tambah beliau, dasar Mara adalah mensasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

"Sistem Pendidikan MRSM adalah bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.''

"Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar. MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP).''

Sebagai rekod, bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan kapasiti menampung 37,198 pelajar.

Sebelum ini, media melaporkan waris dan beberapa pemimpin pembangkang menyuarakan bantahan terhadap syarat baru kemasukan MRSM yang hanya menerima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Laman rasmi MRSM bagi kemasukan 2022 antaranya menyatakan kemasukan bagi tingkatan satu dan empat hanya dihadkan kepada permohonan calon daripada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.