Fokus KJ kurangkan kes BID disokong: Boon Chye

Boon Chye (tiga dari kiri) selepas menandatangani MoU bersama Kuala Lumpur City College.
Boon Chye (tiga dari kiri) selepas menandatangani MoU bersama Kuala Lumpur City College.
A
A
A

IPOH - Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye memuji pendekatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyasarkan untuk menurunkan kes kematian pesakit tanpa rawatan hospital atau brought-in-dead (BID).

Beliau berkata, perkara itu adalah isu penting yang harus ditangani segera kerana menjadi penanda aras kepada sistem perkhidmatan kesihatan yang ketika ini berada dalam keadaan tertekan.

Menurutnya, keadaan di mana ramai pesakit Covid-19 tidak sempat mendapatkan rawatan ke hospital atau tidak mahu ke hospital, menunjukkan berlaku kegagalan dalam sistem sedia ada dalam menguruskan pandemik itu.

"Saya mengikuti janji dan apa yang disebut oleh Menteri Kesihatan yang mahu mengurangkan BID.

"Saya setuju dengan beliau bahawa perkara itu harus diteliti dengan baik kerana daripada apa yang kita tahu kesnya sudah berada pada tahap membimbangkan.

"Namun dalam perkara ini perlu ada penambahbaikan dilakukan agar benar-benar memberi kesan terutama dalam menangani wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gopeng dengan Kuala Lumpur City College di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah menambah kemudahan hospital agar dapat menampung lebih ramai pesakit memandangkan risiko tinggi selepas sektor ekonomi dibuka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain itu mewujudkan sistem kuarantin yang selamat di rumah dengan menyediakan pasukan pemantau dalam kalangan doktor atau petugas kesihatan untuk memantau kadar oksigen dalam darah pesakit.

"Proses vaksinasi sepertimana dilakukan kerajaan sekarang haruslah ditambah baik dan prosesnya disegerakan secepat mungkin.

"Mereka yang belum divaksin atau tidak mendaftar sebagai penerima vaksin perlu dijadikan pioriti kerana kita tidak mahu kumpulan ini menjadi beban kepada perkhidmatan hospital-hospital dan mengakibatkan kematian," katanya.

Pada 4 September lepas, media melaporkan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang baharu telah menyasarkan untuk menurunkan kes BID sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai dalam 100 hari pertama menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan lain, Boon Chye berkata, kerjasama yang dijalin dengan Kuala Lumpur City College merupakan tawaran biasiswa kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyertai program diploma pengurusan peruncitan, sijil peruncitan atau program kemahiran bahasa Inggeris yang disediakan institusi pengajian itu.

"Sebanyak 100 kuota disediakan dengan tajaan pembiayaan biasiswa sehingga RM22,000.

"Kita harap ruang ini dapat membantu golongan remaja lepasan SPM khususnya di kalangan B40 di negeri ini melanjutkan pelajaran untuk membina kerjaya lebih baik pada masa depan," katanya.