Harga siling kit ujian Covid-19: Farmasi komuniti tanggung rugi

Gambar kecil: Rahman Baco
Gambar kecil: Rahman Baco
A
A
A

SHAH ALAM - Penetapan harga maksimum kit ujian kendiri Covid-19 menyebabkan ramai pengusaha farmasi komuniti kecil terutamanya farmasi bumiputera terpaksa menanggung kerugian disebabkan tempahan awal telah dibuat kepada pembekal pada Julai.

Pengerusi Persatuan Farmasi Bumiputera Malaysia (Bumifarma), Rahman Baco berkata, mereka telah membayar dengan harga RM27 untuk setiap kit, tetapi bekalan hanya boleh dibekalkan pada penghujung Ogos dengan alasan perlu utamakan stok kepada pihak kerajaan terlebih dahulu.

“Bekalan kit ujian diterima kebanyakan farmasi komuniti setelah sebulan bayaran pra pesanan dibuat kepada pembekal.

“Namun belum sempat stok ini dijual kepada pengguna, kerajaan telah mengumumkan penetapan harga siling pada harga RM19.90 dan menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada farmasi komuniti yang didakwa mengaut keuntungan besar daripada penjualan kit ujian ini dengan harga yang tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Khamis, kerajaan telah menetapkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 masing-masing dikawal pada RM16 dan RM19.90.

Rahman berkata, Farmasi Komuniti Bebas menyambut baik usaha kerajaan bagi mengawal harga siling kit ujian Covid-19 untuk membolehkan rakyat mendapatkannya pada harga mampu milik dan tidak membebankan.

“Tetapi pengumuman awal dan terburu-buru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mendakwa telah menjalankan kajian harga selama sebulan amat mendukacitakan kerana tidak memaklumkannya kepada Farmasi Komuniti Bebas dan Fasiliti Kesihatan terlebih dahulu.

“Kami berharap masa akan datang Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan kementerian dapat mengambil kira pandangan kami dalam menetapkan dasar dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara, bukan hanya pandangan wakil syarikat besar yang memiliki rangkaian farmasi komuniti,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: