Jangan guna kaedah rosakkan sumber, habitat ikan

Abdullah (kanan), Shahaniza (tengah) dan Shahruddin(kiri) ketika melepaskan benih ikan lampam di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Maran pada Sabtu.
Abdullah (kanan), Shahaniza (tengah) dan Shahruddin(kiri) ketika melepaskan benih ikan lampam di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Maran pada Sabtu.
A
A
A

MARAN - Jabatan Perikanan Negeri Pahang meminta orang ramai khususnya nelayan darat (sungai) di negeri ini supaya memanfaatkan kekayaan sumber perikanan secara bertanggungjawab dengan mengelakkan kaedah yang merosakkan sumber dan habitat seperti racun tuba.

Pengarah Perikanan negeri, Abdullah Jaafar memberitahu, selain racun tuba, pengunaan bahan letupan dan elektrik yang menyebabkan pencemaran sungai antara kaedah yang dilakukan oleh mereka tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, penggunaan kaedah-kaedah tersebut adalah satu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 yang boleh dikompaun atau didakwa di mahkamah.

"Sejak 2007, sebanyak 86 kes tangkapan telah dibuat oleh Jabatan Perikanan negeri berhubung aktiviti kesalahan di bawah undang-undang perikanan Sungai Pahang.

"Namun pada masa sekarang, penguatkuasaan undang-undang tersebut telah dibuat oleh pasukan penguatkuasa bersepadu negeri," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata sedemikian sempena program pelepasan umum 9,000 benih ikan Lampam sungai di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Maran.

Turut berlangsung, penyerahan benih ikan tilapia kepada lima penternak dengan 1,000 ekor setiap seorang.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Sharuddin Jali.

Artikel Berkaitan:

Ujar Abdullah lagi, setakat ini terdapat 390 nelayan darat tulen yang berdaftar di Pahang dengan Maran mencatatkan jumlah terbanyak seramai 106 orang.

"Daerah Maran menyumbang kira-kira 413 tan metrik iaitu bernilai RM5.4 juta setahun daripada pengeluaran hasil akuakultur dan 34 tan metrik yang bernilai RM1 juta setahun daripada pendaratan ikan sungai.

"Pendaratan perikanan darat (sungai) di negeri ini merupakan yang kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah 786 tan metrik yang bernilai RM11.5 juta bagi tahun lalu," jelasnya.

Sementara itu, menyentuh tentang pelepasan benih ikan di negeri itu, beliau memberitahu, sehingga September 2021, sebanyak 650 ribu ekor benih telah dilepaskan di seluruh Pahang pada tahun ini.