X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Kit ujian kendiri: Peniaga diberi tempoh seminggu patuhi harga

Alexander Nanta Linggi (kiri) memeriksa harga kit ujian pantas antigen Covid-19 di sebuah farmasi di sini, pada Ahad. 
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Datuk Stanley Tan (kanan).

 - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memberi masa seminggu bermula hari ini kepada para peniaga untuk mematuhi harga maksimum RM19.90 untuk kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pasukan penguat kuasa akan melakukan pemantauan namun tidak akan mengeluarkan denda tetapi sebaliknya akan memberi peringatan kepada peniaga supaya mengikut arahan penjualan harga maksimum itu yang berkuat kuasa pada Ahad.

“KPDNHEP akan beri tempoh seminggu untuk peniaga membuat penyesuaian harga kit ujian tersebut.

“Ini bermakna kita juga prihatin terhadap peniaga tetapi penjualan itu harus mematuhi harga maksimum ditetapkan yang bermula hari ini,” katanya selepas membuat pemeriksaan harga kit tersebut di sebuah farmasi di sini pada Ahad.

Selain itu, Nanta berkata, KPDNHEP juga akan membuat pemeriksaan terhadap pemborong untuk memastikan harga maksimum RM16 dipatuhi kerana ia turut diwartakan.

Kegagalan peniaga dan pemborong untuk mematuhi harga maksimum itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Bagi individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala untuk syarikat, boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sementara itu, berhubung harga maksimum ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang dilakukan di klinik, Nanta berkata, KPDNHEP sedang menunggu nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia serta akan melakukan perbincangan dengan wakil industri untuk pelaksanaan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!