Kitty's Foodbank bantu penjaga kucing terjejas

Antara makanan kucing yang disediakan Kitty's FoodBank oleh pemilik Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty’s Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim. - Foto Bernama
Antara makanan kucing yang disediakan Kitty's FoodBank oleh pemilik Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty’s Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Berpegang kepada prinsip ‘berbakti kepada semua makhluk ciptaan Tuhan’, pemilik Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty’s Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim terpanggil untuk mewujudkan inisiatif bank makanan Kitty's FoodBank untuk penjaga atau pemilik kucing yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dr Muhammad Naim berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas turut memberi kesan kepada pengusaha pusat perlindungan haiwan memandangkan ada di antara mereka yang hilang pendapatan dan kekurangan dana sumbangan orang ramai.

Bermula 7 Julai lepas, mereka yang memerlukan boleh pergi ke mana-mana tiga cawangan Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty’s Care yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Cheras dan Putrajaya dari 10.30 pagi hingga 5.30 petang untuk mengambil sumbangan bank makanan Kitty's FoodBank itu.

"Kami telah agihkan makanan kucing kepada hampir 1,000 penerima terdiri daripada pemilik kucing, pengusaha pusat perlindungan haiwan dan pemberi makanan kepada kucing jalanan,” katanya yang turut telah membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi menjayakan inisiatif itu kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Muhammad Naim berkata, inisiatif berkenaan juga tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sokongan 30 kakitangan kliniknya selain pencinta haiwan serta selebriti yang menyalurkan sumbangan dan memesan makanan haiwan secara dalam talian yang dihantar terus ke cawangan klinik haiwannya.

Berpegang kepada prinsip ‘berbakti kepada semua makhluk ciptaan Tuhan’, Dr Muhammad Naim terpanggil untuk mewujudkan Bank Makanan atau FoodBank untuk pemilik kucing yang terjejas akibat pandemik Covid-19. - Foto Bernama
Berpegang kepada prinsip ‘berbakti kepada semua makhluk ciptaan Tuhan’, Dr Muhammad Naim terpanggil untuk mewujudkan Bank Makanan atau FoodBank untuk pemilik kucing yang terjejas akibat pandemik Covid-19. - Foto Bernama

“Saya amat terharu dengan peruntukan yang diterima setakat ini. Bantuan ini membolehkan pihak kami menyediakan makanan kucing premium bagi memastikan kucing-kucing yang dibantu mendapat sumber nutrisi yang lengkap,” katanya.

Dr Muhammad Naim berkata terdapat juga pengeluar produk makanan kucing yang menaja bekalan makanan setiap bulan untuk diagihkan kepada penerima.

Artikel Berkaitan:

Lulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia pada 2014 itu berkata, media sosial menjadi medium utama perkongsian maklumat dan makluman mengenai inisiatif Kitty's FoodBank itu.

“Pengguna media sosial diharap dapat membantu menguar-uarkan mengenai Kitty's FoodBank kerana saya ingin bantu semua pencinta kucing agar nasib haiwan ini yang tidak bertuan terbela,” katanya yang turut menawarkan harga istimewa kepada individu yang membawa kucing jalanan yang cedera menerima rawatan di kliniknya.

Dr Muhammad Naim (kanan) bersama pekerjanya menyusun makanan yang siap dibungkuskan di Kitty's FoodBank. - Foto Bernama
Dr Muhammad Naim (kanan) bersama pekerjanya menyusun makanan yang siap dibungkuskan di Kitty's FoodBank. - Foto Bernama

“Kami akan membantu kucing jalanan mendapatkan rawatan sebagaimana kucing-kucing lain. Harga yang dikenakan adalah berbeza kerana kami dapat kenal pasti kucing tersebut adalah kucing jalanan berdasarkan kepada keadaan haiwan itu,” kata veterinar berusia 30 tahun itu.

Sementara itu, pemilik Tuah Cat House, Roslina Shari, 46, menyifatkan Kitty's FoodBank sebagai inisiatif penyelamat kucing jalanan yang bukan sahaja kekurangan bekalan makanan malah dapat meneruskan operasi pusat jagaan kucing.

“Saya mula buka pusat perlindungan kucing pada 2008 yang sehingga kini mempunyai beratus kucing yang diselamatkan dari jalanan. Kalau sebelum Covid-19, memang banyak terima sumbangan daripada pelbagai individu dan badan bukan kerajaan (NGO) namun sekarang agak kurang,” katanya.

Dr Muhammad Naim memeriksa kucing di kliniknya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
Dr Muhammad Naim memeriksa kucing di kliniknya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama

Selain memastikan haiwan peliharaannya mendapat bekalan makanan mencukupi, Roslina juga membawa kucing-kucing yang cedera dan dijangkiti Sporo ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan daripada veterinar bagi memulihkan haiwan tersebut dan kembali sihat.

Menurutnya, terdapat 12 ekor kucing jagaannya yang kini menerima rawatan jangkitan Sporo dan 89 ekor lagi mempunyai penyakit lain. - Bernama

Antara individu yang mengambil sumbangan makanan haiwan yang disediakan Kitty's FoodBank. - Foto Bernama
Antara individu yang mengambil sumbangan makanan haiwan yang disediakan Kitty's FoodBank. - Foto Bernama