Movak bantu percepatkan vaksinasi: Halimah

Halimah pada sidang akhbar di Dewan Ladang Tanah Merah pada Ahad.
Halimah pada sidang akhbar di Dewan Ladang Tanah Merah pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMASKINI] Seramai 462,586 individu menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) setakat tempoh 31 Ogos lalu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, daripada jumlah itu seramai 281,938 menerima dos pertama manakala 180,648 lagi sudah melengkapkan dua dos vaksin.

Beliau berkata, program Movak yang dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menyediakan 25 bas bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Penggunaan bas ini sangat membantu terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar termasuk masyarakat yang tinggal di ladang-ladang.

"Kita yakin Movak akan dapat mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin di Malaysia terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar," katanya.

Halimah (kanan) pada Program Penyampaian Kotak Mitra di Ladang Tanah Merah pada Ahad.
Halimah (kanan) pada Program Penyampaian Kotak Mitra di Ladang Tanah Merah pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyampaian Kotak Mitra di Ladang Tanah Merah dan Ladang Bukit Pelanduk dekat sini pada Ahad.

Pada program tersebut, sebanyak 150 kotak makanan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) diedarkan kepada masyarakat India di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Halimah turut memberitahu melalui program berkenaan, Kementerian Perpaduan Negara telah memperuntukkan RM12.4 juta untuk menyediakan 73,883 kotak makanan bagi masyarakat India B40 di seluruh negara.

“Kita berharap program ini dapat membantu masyarakat India dalam kalangan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Insya-ALLAH program seperti ini akan diteruskan sepanjang tempoh pandemik ini bagi memastikan bekalan makanan sentiasa diterima oleh mereka yang memerlukan," katanya.