Kenyataan Teresa merujuk kawasan bersesuaian di Pahang

Teresa Kok Suh Sim - Foto Bernama
Teresa Kok Suh Sim - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Industri Utama, Teresa Kok menjelaskan kenyataannya supaya pekebun kecil mencari alternatif lain supaya tidak bergantung kelapa sawit sebagai produk komoditi negara adalah merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Pahang.

Beliau berkata, kenyataannya itu merujuk kepada beberapa kawasan di Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh.

Beliau berkata, pemilihan tanaman yang lain juga adalah bergantung kepada kesesuaian tempat yang sesuai dengan sebarang jenis tanaman.

“Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nenas atau pokok durian.

“Buluh, nenas dan kelapa yang saya sebutkan semalam adalah sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil yang selama ini sangat bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu katanya, laporan sebuah akhbar yang bertajuk, “Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh” adalah tidak wajar walaupun isi kandungan laporan tersebut boleh diterima.

Jelasnya, dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Projek The Valley di Bentong, Pahang, semalam, beliau ditanya pemberita mengenai hasrat kerajaan untuk menghadkan perluasan penanaman kelapa sawit.

Katanya, beliau menjelaskan bahawa tujuan kerajaan berbuat demikian adalah sebagai salah satu langkah bagi melawan sentimen anti minyak sawit di Eropah yang kini menjejaskan pengeksportan minyak sawit Malaysia ke pasaran global khususnya negara-negara Eropah.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, Kementerian Industri Utama di bawah saya sedang mengambil langkah untuk melawan pengaruh kempen anti minyak sawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat.

“Saya juga memberitahu wartawan dalam sidang akhbar semalam bahawa harga minyak sawit Malaysia telah jatuh dengan agak teruk pada tahun lepas. Ini sekaligus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil,” katanya.

Teresa berharap penjelasannya itu dapat merungkaikan kekeliruan yang dihadapi semua pihak.