Felda tumpu program vaksinasi Covid-19 di pedalaman

Idris Jusoh
Idris Jusoh
A
A
A

BERA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini menumpukan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan komuniti Felda di kawasan pedalaman.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi kawasan yang tidak mempunyai dewan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV), pihaknya menyediakan bas bergerak bagi memudahkan penduduk menerima suntikan vaksinasi mereka.

“Kami mendapati masih ramai yang berada di pedalaman tak ada peluang vaksinasi, justeru saya telah mengarahkan Yasayan Felda untuk turun padang ke kawasan-kawasan tersebut agar vaksinasi dapat diberikan segera.

“Usaha ini sedang giat dijalankan dengan semalam kita telah pergi ke beberapa kawasan di Terengganu antaranya Kerteh dan Jerangau dan hari ini serta esok kita laksanakan di Pahang dengan purata lebih 1,000 orang menerima vaksin (Covid-19) di setiap lokasi,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Dewan Orang Ramai Felda Mayam di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Ditanya mengenai bilangan individu yang menolak vaksin Covid-19 dalam kalangan warga Felda, Idris berkata, jumlahnya kecil dan usaha mendaftarkan mereka bagi menerima vaksin itu sedang giat dijalankan.

“Individu yang tolak vaksin ada, tetapi bilangannya tidak ramai kerana kesedaran untuk menerima vaksin kini amat baik dan kita ada Pengurus Rancangan dan Ketua Peneroka yang membantu menguruskan dari segi pendaftaran vaksin,” katanya.

Setakat ini seramai 67,837 peneroka daripada 101,866 atau hampir 91 peratus yang mendaftar telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menerusi 66 PPV ditubuhkan di kawasan Felda. - Bernama

Artikel Berkaitan: