1.42 juta penduduk Johor lengkap divaksinasi

Dr Adham (kanan) diberi penerangan berkenaan proses vaksinasi semasa melawat PPV Mount Austin di Austin International Convention Centre (AICC) di Taman Mount Austin, Johor Bahru, pada Ahad.
Dr Adham (kanan) diberi penerangan berkenaan proses vaksinasi semasa melawat PPV Mount Austin di Austin International Convention Centre (AICC) di Taman Mount Austin, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 3.68 juta suntikan dos sudah diberikan kepada 2.25 juta penduduk di Johor bagi dos pertama dan 1.42 juta dos yang kedua.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini Johor mencatatkan sebanyak 83.1 peratus daripada populasi orang dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya dos satu dan 52.6 peratus dos yang lengkap divaksinasi.

"Kadar purata vaksinasi harian di Johor sepanjang tujuh hari lalu ialah 59,683 dos dan pada Sabtu sahaja sebanyak 59,240 dos diberikan di seluruh negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin di Austin International Convention Centre (AICC) di Taman Mount Austin di sini pada Ahad.

Beliau berkata, Johor merupakan negeri kedua menerima bekalan vaksin paling banyak bulan lalu iaitu 2.105 juta juta membabitkan 1.04 juta dos Pfizer, 856,000 Sinovac dan 203,000 AstraZeneca.

Sementara pada bulan ini, Johor masih negeri kedua yang menerima jumlah vaksin terbesar sebanyak 1.984 juta dos melibatkan 1.82 juta dos Pfizer, 100,000 Sinovac, 40,000 AstraZeneca dan 22,000 CanSino.

Selain itu katanya, bagi meningkatkan proses vaksinasi di negeri ini, pemberian vaksin secara jumpa terus di 21 PPV seluruh negeri bagi penduduk tempatan yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera turut dilakukan.

Menurut Adham, antara daerah terlibat ialah Kulai, Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Mersing dan Kluang.

Beliau memberitahu, program jangkauan di negeri ini juga akan diteruskan bagi memastikan tiada yang tercicir menerima vaksin disebabkan kesukaran untuk datang ke PPV industri.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan kekalkan 11 PPV Industri sedia ada sehingga dapat menyelesaikan pemberian vaksin dalam sektor industri dan sektor di tempat kerja selesai," katanya.