Tiga penunggang ditahan lakukan aksi bahaya

JSPT Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Motosikal di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur sejak Jumaat hingga Ahad.
JSPT Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Motosikal di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur sejak Jumaat hingga Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tiga lelaki ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan kerana disyaki melakukan aksi berbahaya di Jalan Kuching di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun itu dikatakan melakukan aksi zig-zag, roket, Superman serta bersaing.

"Mereka dibawa ke Balai JSPT Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, seramai empat pegawai dan 34 anggota polis terlibat dalam Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Motosikal di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu hingga Ahad.

"Secara keseluruhan sebanyak 896 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Sebanyak 19 motosikal disita di bawah Seksyen 64 APJ atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos)," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Sarifudin memaklumkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri sebuah motosikal dalam operasi di Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat.

"Hasil semakan mendapati lelaki berusia 27 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau dan turut dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah beliau, polis akan terus mempertingkatkan operasi terutama di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau pergi ke balai polis berhampiran.