Perhalusi semula syarat kelayakan masuk ke MRSM

Syarat kemasukan ke MRSM bagi Tingkatan Satu dan Empat tahun 2022.
Syarat kemasukan ke MRSM bagi Tingkatan Satu dan Empat tahun 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dirayu memperhalusi dan menarik semula syarat kemasukan yang mengehadkan permohonan pelajar sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan sahaja.

Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Negeri Selangor dalam satu kenyataan meminta permohonan turut diperluas kepada pelajar SRAI, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Menengah (SAM).

Menurutnya, pelajar sekolah agama juga terdiri dalam kalangan B40, M40 dan T20 dengan peratusan sama atau hampir sama dengan sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan.

“Kami terkilan dengan syarat kelayakan kemasukan MRSM ke Tingkatan Satu dan Empat sesi 2022 yang hanya menerima permohonan calon dari sekolah kebangsaan membabitkan Tahun Satu hingga Enam manakala sekolah menengah kebangsaan pula Tingkatan Satu hingga Tiga sahaja.

“Keputusan ini dilihat sebagai satu tindakan terkebelakang yang hanya akan mengurangkan peratusan pelajar berkualiti melanjutkan pelajaran di MRSM terutama MRSM Ulul Albab.

“Kami harap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dapat memperhalusi semula syarat baharu yang dilihat sangat pra matang dan seolah-olah dibuat tergesa-gesa,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu turut berharap Mara dapat memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar atau miskin bandar untuk melanjutkan pelajaran di MRSM melalui proses saringan peperiksaan dan temuduga seperti sebelumnya mengikut keutamaan atau kuota yang ditetapkan.

“Syarat-syarat ini perlu dipertimbangkan dan ditarik semula demi kepentingan dan kebaikan bumiputera serta anak-anak Melayu,” jelas mereka.

Artikel Berkaitan: