Kilang makanan disyaki punca pencemaran bau Sungai Semenyih

Pencemaran bau dikesan di Sungai Semenyih pada Jumaat lalu.
Pencemaran bau dikesan di Sungai Semenyih pada Jumaat lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang berasaskan makanan dikenakan tindakan henti operasi berikutan disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Situasi itu mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas sebanyak dua kali dalam tempoh tiga hari iaitu pada 31 Ogos lalu dan Jumaat.

Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang terbabit.

Menurut kenyataan itu, henti tugas LRA tersebut berlaku akibat pencemaran sebatian penyebab bau (OCS) yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada tahap dua ton di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 5.15 petang Sabtu.

"Siasatan oleh JAS Negeri Selangor pada Khamis dan Jumaat lalu mendapati kilang tersebut beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian dan sampel air sungai di muka sauk telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa komposisi kimia," katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelepasan efluen punca pencemaran LRA Sungai Semenyih

Kenyataan itu turut memaklumkan, siasatan diteruskan pada tengah malam Jumaat dan pengawasan kualiti udara yang dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) berjaya mencerap beberapa bahan kimia iaitu sebatian organik meruap (VOC) dalam udara yang berbau serta mempunyai persamaan dengan bahan-bahan VOC yang dikesan dalam sampel air berbau semasa kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu.

"Berdasarkan petunjuk terbaru tersebut, pihak JAS telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta merta dan proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 25 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter.

Jelas kenyataan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah mengambil bahan bukti termasuk sampel-sampel efluen.

"SPAN membuka kertas siasatan kes ini di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000.00 atau kedua-duanya sekali," kata kenyataan itu..