Abah buat kemunculan semula

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri ternyata mengejutkan semua pihak.

Walaupun ada yang gembira dengan perkhabaran itu sekali gus membawa Abah kembali ke gelanggang, namun tidak kurang juga ramai yang kurang menyenangi keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

Masakan tidak, kegagalannya menangani isu Covid-19 sebelum ini dikatakan menjadi antara punca kejatuhannya, sekali gus menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan setelah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataannya pada Sabtu menyatakan, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik.

Ia termasuklah memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu dan pelantikannya telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, keputusan itu nyata kurang disenangi oleh pembangkang.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail misalnya mendakwa, bekas Perdana Menteri itu gagal menguruskan respon negara dalam wabak Covid-19 sama ada daripada segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan ketika memegang tampuk pemerintahan negara.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, Muhyiddin yang bertanggungjawab diatas penderitaan rakyat ketika ini.

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim juga hairan dengan tindakan Ismail Sabri yang melantik semula Muhyiddin.

Beliau menyifatkan Muhyiddin telah gagal dalam menggalas peranan yang sama iaitu membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Walaupun dengan pelbagai reaksi yang diterima, Muhyiddin tetap kekal tenang dan menyatakan kesanggupan untuk memikul amanah baharu yang diberikan kepadanya.

Malah, beliau dengan jiwa besar memberitahu, akan menjalankan tugasnya itu secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Dengan pengalaman yang ada, beliau turut berikrar untuk memanfaatkan sepenuhnya.

Namun, apa yang menjadi harapannya ialah sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan.

Sebagai rakyat, apa yang kita nantikan bukanlah sekadar janji, namun bukti kerajaan mampu memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.