Pengusaha institut memandu perit tanggung kos operasi

Penutupan institut memandu di seluruh negara akibat PKP menyebabkan lebih sejuta individu tidak dapat membuat lesen memandu.
Penutupan institut memandu di seluruh negara akibat PKP menyebabkan lebih sejuta individu tidak dapat membuat lesen memandu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha institut memandu di negara ini mengalami situasi yang amat perit susulan arahan penutupan operasi pusat latihan tersebut sejak hampir empat bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain terpaksa menampung kos operasi yang tinggi, institut memandu juga terpaksa menangguhkan latihan ratusan calon yang sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen memandu.

Pengarah Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd, E Vennarajan Ellappan berkata, tekanan utama dihadapi institut memandu adalah menangani komitmen yang terpaksa ditanggung meskipun perniagaan mereka tidak berjalan sejak Jun lalu.

“Syarikat masih perlu membayar ansuran kereta dan gaji kakitangan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso). Cukai dan sewa tanah juga masih perlu dibayar.

“Kalau dikira anggaran kasar, kos perlu ditanggung sekurang-kurangnya mencecah RM200,000 setiap bulan. Jadi memang perit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Sabtu, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar memaklumkan bahawa penutupan sektor tersebut telah menjejaskan sebanyak 231 institut memandu seluruh negara.

Beliau berkata, ia melibatkan seramai 20,000 pekerja dengan kerugian hampir RM430 juta dalam tempoh dua tahun.

Berikutan itu, Mat Aris berkata, penutupan institut memandu bagi tempoh yang panjang akan mengakibatkan pemberhentian pekerja termasuk kemungkinan ada institut memandu terpaksa ditutup buat selamanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Vennarajan berkata, pihaknya berharap agar kerajaan kembali membenarkan pembukaan operasi institut memandu secepat mungkin.

Menurut Vennarajan, pihaknya bersedia untuk mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) nanti termasuk melengkapkan vaksinasi Covid-19 kepada semua staf dan tenaga pengajar.

“Kita tidak ada masalah untuk mengikut SOP ditetapkan MKN. Selain semua staf sudah melengkapkan dua dos vaksin, persediaan lain seperti alatan untuk cek suhu dan penjarakan fizikal pun kita sudah lakukan sebelum ini.

“Jika MKN mahu menambah baik, pun bagus. Tidak ada masalah,” katanya yang turut memaklumkan bahawa lebih kurang 300 calon kini sedang menunggu untuk mengambil lesen di bawah pusat latihannya.

Samuel
Samuel

Sementara itu, Pengurus Besar Pusat Latihan Memandu Shah Bandar Sdn Bhd, Samuel B J Tan berkata, meskipun bantuan kerajaan sedikit sebanyak membantu membayar gaji pekerjanya, namun jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk meringankan beban ditanggung.

Untuk tahun ini sahaja, Samuel berkata, pihaknya sudah menanggung kerugian hampir RM3 juta disebabkan dua kali arahan penutupan operasi dikeluarkan terhadap institut memandu di seluruh negara susulan pelaksanaan PKP.

“Kalau dicampur PKP 2.0 iaitu satu setengah bulan (Januari dan Februari), kita kerugian hampir RM800,000 sebulan. Sewa tapak seluas kira-kira dua hektar sudah cecah RM50,000. Tak termasuk pembayaran gaji, ansuran kereta dan motor serta penyelenggaraan.

“Kita hanya dapat manfaat Program Subsidi Upah Perkeso. Walaupun lebih baik daripada tidak ada langsung, tapi RM600 (untuk seorang pekerja) masih tidak cukup. Sebulan baru dapat dalam RM30,000,” katanya yang menguruskan seramai 85 orang pekerja.

Samuel berkata, terdapat lebih kurang 400 calon yang mendaftar untuk mengambil lesen di bawah syarikatnya kini terpaksa menangguhkan latihan mereka berikutan arahan penutupan operasi sejak Jun lalu.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan lebih satu juta individu tidak dapat menjalani ujian memandu, sekali gus tidak dapat memperoleh lesen kerana institut memandu di seluruh negara tidak beroperasi disebabkan pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu.